mutakhir

AES diperluas ke seluruh negara

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diperluas ke seluruh negara bagi mengatasi kemalangan jalan raya, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, AES akan diperluas ke lokasi berisiko kemalangan yang dikenal pasti hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Pada masa ini, kami masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan untuk manambah baik terma perjanjian AES yang mengambil kira pandangan dan maklumat balas pelbagai pihak sebelum ia boleh diperluaskan.

“AES masih diteruskan di 14 lokasi iaitu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan 10 kamera tetap serta empat kamera mudah alih,” katanya menjawab soalan Senator Dr Ariffin SM Omar yang ingin tahu langkah kerajaan dalam membangun dan memperluaskan khidmat AES.

Abdul Aziz berkata, selain memperluas operasi AES, kerajaan juga sedang merangka pelan pelaksanaan dan model operasi yang baharu bagi fasa berikutnya supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif serta diterima masyarakat.

Menjawab soalan Senator Chia Soong Cheng mengenai penambahbaikan AES, beliau berkata, pada masa ini kementerian akan membuat penjenamaan semula bagi menangani persepsi orang ramai yang mengganggap sistem itu hanya bersifat menghukum.

“Kita akan buat penjenamaan semula AES kepada Malaysia Road Traffic Safety Programme (MRTSP) bagi menangani persepsi orang ramai yang kurang mesra dengan terma penguatkuasaan AES,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2015 @ 9:04am
d