mutakhir

Anjakan positif dibawa DTP

Oleh Ahmad Saufi Mansor

Potensi seseorang murid perlu dinilai di peringkat awal seperti amalan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Puan Sharifah Hanifah, Kuala Nerang di Padang Terap, Kedah selain sokongan semua pihak, termasuk guru, waris dan murid itu sendiri jika mahu mencapai kejayaan terbaik.

Walaupun baru bertugas sebagai guru besar sekolah berstatus luar bandar itu pada Ogos 2013, namun pencapaian yang diperoleh Fuzil Othman amat membanggakan meskipun mengakui berdepan cabaran dari segi prasarana mahupun peruntukan kewangan di sekolah terbabit.

Fuzil berkata, pelaksanaan Program Transformasi Daerah (DTP) menerusi Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) dan Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+) di sekolahnya secara tidak langsung banyak membawa perubahan kerana turut mengurangkan jurang perbezaan dengan sekolah bandar.

Menurutnya, ini kerana pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di sekolah itu mencatatkan 1.27 iaitu antara lapan sekolah terbaik di negeri di Kedah walaupun peringkat awal sekadar menyasarkan 1.5.

Katanya, nilai GPS bagi 2014 pula mencatatkan 1.52 berbanding sasaran 1.78, manakala 1.94 pada 2013 dan apa yang membanggakan ialah sekolah itu mengekalkan pencapaian peratusan lulus 100 peratus untuk dua tahun berturut-turut pada 2014 dan tahun ini.

“Apabila mendapat bimbingan SIP+, pihak sekolah berbincang untuk mengadakan program bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di mana saya memberi penekanan dari segi kepemimpinan dengan menggunakan semua input yang ada.

“Faktor guru juga memainkan peranan penting kerana sekolah ini mempunyai guru yang memberi komitmen tinggi, pembelajaran dan pengajaran (P&P) berkualiti selain kami juga sudah memulakan pengajaran abad ke-21 untuk menarik minat murid-murid.

“Saya juga mementingkan kehadiran murid di sekolah kerana jika mereka datang sudah tentu mereka akan belajar. Kita berjaya kekalkan jumlah kehadiran 97 peratus pada tahun lalu dan terbaik di peringkat daerah Padang Terap di samping amalan berkunjung ke rumah murid yang berdepan masalah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memulakan pengajaran abad ke-21 kerana mempunyai konsep lebih fokus apabila murid-murid dapat melakukan aktiviti dan pembentangan, sekali gus mereka akan seronok datang ke sekolah jika P&P di dalam kelas amat menyeronokkan.

Katanya, beliau dengan kerjasama guru juga menekankan konsep pengajaran bermula dari prasekolah kerana berharap apabila murid sudah berjaya menguasai asas, maka tidak akan timbul masalah apabila memasuki Tahun Enam kelak.

“Dari awal murid Tahun Satu akan disaring menggunakan Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) untuk melihat sama ada mereka boleh menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis. Andainya mereka ada masalah maka akan diletakkan di dalam kelas pemulihan.

“Secara kebetulan dalam UPSR 2015 lalu, kita mempunyai tiga calon yang juga bekas murid kelas pemulihan yang mempunyai masalah membaca apatah lagi mengira.

“Kami di peringkat sekolah cuba sedaya-upaya dan berdoa. Alhamdulillah, mereka berjaya apabila seorang daripada mereka memperoleh keputusan 4A 1B, manakala dua lagi mendapat 4A 1C, sekali gus membuktikan guru sentiasa berusaha memberi komitmen terbaik untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan murid-murid itu bukan sekadar atas usaha guru kerana ia juga memerlukan sokongan dan kerjasama daripada waris mereka, tetapi pihak sekolah akan berusaha mengesan masalah sejak daripada awal untuk mengatasinya.

“Bagi murid yang bermasalah, kita akan panggil waris datang sekolah dan diminta masuk ke dalam kelas untuk melihat bagaimana kaedah P&P sebelum ibu bapa diminta melakukan perkara sama di rumah supaya ada kesinambungan sepanjang masa.

“Pihak sekolah juga menjemput pegawai PPD bagi memberi kemahiran kepada ibu bapa untuk membimbing anak masing-masing di rumah dengan menyediakan apa sepatutnya seperti tempat belajar kondusif, pemakanan dan memberi motivasi,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Melaka, Langkawi, Suriati Morshidi mengakui, walaupun baru bertugas di sekolah itu, beliau menerima legasi kejayaan daripada bekas guru besar Subi Hashim yang bersara wajib pada September lalu.

Menurutnya, secara perbandingan terdapat pencapaian membanggakan apabila seramai 17 murid sekolah itu memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2015 yang diumumkan baru-baru ini berbanding hanya empat orang pada tahun lalu.

Katanya, peratusan kelulusan 100 peratus sekolah itu juga meningkat kepada 61.87 peratus pada tahun ini, berbanding 59.26 peratus pada tahun sebelumnya dengan mencatatkan GPS 2.50 pada 2015 berbanding 2.68 pada 2014.

“Bagi memastikan peningkatan pencapaian akademik, pihak sekolah mengadakan majlis permuafakatan ilmu untuk murid Tahun Enam bersama waris mereka sebaik sesi persekolahan bermula.

“Kita akan berbincang bersama-sama untuk mengetahui sasaran dan menceritakan pencapaian murid terbabit ketika di Tahun Lima. Pada masa sama, kita akan maklumkan adakah sasaran itu mampu dicapai dengan melihat potensi yang dimiliki seseorang murid berkenaan.

“Selain itu, sekolah juga mengadakan kelas tambahan hingga kelas malam kerana anak-anak luar bandar ini tiada pusat tuisyen, selain tiada kemampuan kewangan maka warga sekolah melakukan pengorbanan, termasuk wang ringgit bagi memastikan program dilaksanakan mencapai sasaran,” katanya.

Menurutnya, pengenalan DTP memang membantu dalam meningkatkan pencapaian murid-murid sekolah luar bandar yang menduduki UPSR 2015 kerana secara tidak langsung dianggap sebagai garis panduan untuk menentukan hala tuju sesebuah sekolah berkenaan.

“Berbeza dengan sekolah bandar yang memiliki kemudahan, anak-anak di sekolah luar bandar amat mengharap guru-guru kerana kekurangan yang dihadapi.

“Sebagai contoh, seorang anak tukang cuci di sekolah ini begitu bergantung kepada guru, tetapi dia tidak malu bertanya kepada guru apabila ada masa terluang dan guru juga tidak kedekut ilmu untuk membantu atau membeza-bezakan mereka.

“Akhirnya, anak ini berjaya memperoleh keputusan 5A dalam UPSR lalu, dan kami juga terkejut dan tidak sangka dengan apa yang dicapainya. Namun, ia adalah bukti kesungguhan murid dan sokongan daripada ibu bapa mereka sendiri untuk berubah,” katanya dalam nada sebak.

Disiarkan pada: December 11, 2015 @ 10:28am
d