mutakhir

Masak bersama cef selebriti

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Seramai 25 kanak-kanak dari rumah kebajikan, House Of Joy diberi peluang bertemu cef selebriti daripada rancangan The Fabulous Baker Brothers sempena Festival TLC 2015 di Setia City Park, Setia Alam, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Kulvinder Birring berkata, peluang sekali seumur hidup yang diberikan kepada kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun itu adalah satu daripada aktiviti menarik festival itu yang dibawakan oleh Watsons Malaysia dengan kerjasama saluran pengembaraan dan gaya hidup nombor satu di Rantau Asia Pasifik, TLC.

“Mereka diberi peluang untuk belajar memasak bersama dua cef selebriti terkenal iaitu Tom dan Henry Herbert dengan menyediakan hidangan English scones.

“Aktiviti ini sangat penting untuk merapatkan silaturahim antara masyarakat dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Kami gembira melihat wajah teruja kanak-kanak yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Festival berkenaan yang dimeriahkan dengan penampilan khas personaliti terkemuka pilihan TLC dan pelbagai aktiviti menarik seperti penyediaan pelbagai jenis pilihan menu makanan daripada puluhan trak makanan, persembahan muzik, pengalaman menaiki belon udara panas, rock climbing, sesi dandanan, persembahan silap mata, lukisan muka, istana angin (bouncy castle) untuk si cilik dan zumba menarik lebih 15,000 pengunjung.

Paling menarik, Watsons yang sinonim dengan aktiviti berkonsepkan gaya hidup sudah berjaya mencipta sejarah dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai Penyertaan Terbesar Zumba ketika kempen Watsons Move Your Body Zumba yang diadakan di Pulau Pinang, tahun ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pemasaran Watsons Malaysia, Danny Hoh berkata, mereka berpuas hati dengan penganjuran kali pertama festival sehari berkenaan.

“Kami berbangga dengan penganjuran festival ini apabila berjaya mengisi waktu cuti sesebuah keluarga untuk membuat aktiviti berfaedah terutama pelanggan setia Watsons di seluruh negara. Ini juga bertujuan sebagai penghargaan kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2015 @ 8:18am
d