mutakhir

Remaja IS ditahan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seorang remaja tempatan berusia 19 tahun yang ditahan polis kerana menyertai kumpulan militan Islam (IS) di Syria, Isnin lalu, didapati mahir mengendalikan senjata berat antaranya pelancar roket (RPG), mesingan, senjata anti kereta kebal dan bom tangan.

Suspek yang berasal daripada Perak menjalani latihan ketenteraan khas di beberapa kem kumpulan pengganas di Hamar dan Idlib, Syria.

Remaja itu bagaimanapun ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini melalui Turki.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek terbabit dalam hampir 100 operasi ketenteraan bersama-sama kumpulan IS digelar Jund Al Aqsa di Syria.

“Sepanjang berada di kem itu, remaja terbabit didedahkan dengan kemahiran mengendalikan senjata api termasuk mahir menggunakan rifel AK-47.

“Suspek adalah bekas penuntut sebuah kolej di Kaherah, Mesir yang direkrut menyertai kumpulan pengganas di Syria melalui Facebook (FB) oleh seorang anggota pengganas dari negara itu,” katanya.

Bagaimanapun anggota pengganas dikenali suspek mengatur rancangan untuk menyeludup masuk suspek ke Syria melalui Turki pada September 2014.

Menurutnya, remaja itu kemudian menyertai kumpulan Jund Al Aqsa iaitu pertubuhan gabungan Al Qaeda di Syria dan menjalani latihan ketenteraan di beberapa kem kumpulan pengganas.

Harian Metro semalam, melaporkan remaja terbabit menyertai kumpulan IS di Syria selama sembilan bulan selain pernah menembak mati penyokong Syiah menggunakan rifel AK-47.

Khalid berkata, setakat ini Cawangan Khas menahan lapan suspek warga tempatan yang kembali ke negara ini selepas menyertai kumpulan pengganas di Syria dan daripada jumlah itu tujuh dituduh di mahkamah, dua dijatuhkan hukuman manakala seorang lagi masih dalam siasatan.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA- Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2015 @ 8:28am
d