mutakhir

13 spesies katak

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Biarpun ia hanya tasik buatan manusia namun, Tasik dan Wetland Putrajaya (TWP) kini boleh dianggap setanding dengan tasik semula jadi lain di negara ini terutama dari aspek keseimbangan dan ekosistem.

Penyelidik tempatan menemui 13 spesies katak daripada lima keluarga katak dan kodok di sekitar TWP setanding dengan penemuan spesies sama di Tasik Chini, Pahang.

Antara katak dan kodok yang ditemui termasuk katak puru, katak jambul lurus, katak rumput, katak Sumatera, katak padi, katak jawab, katak bising dan katak pokok selain kodok sawah, hylarana nicobariensis, hylarana glandulosa, kaloula pulchra dan microhyla fissipes.

Perkara itu disahkan Unit Pengurusan Ekohidrologi, Bahagian Alam Sekitar Tasik dan Wetland, Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menyifatkan penemuan spesies katak dan kodok itu membuktikan kesesuaian kawasan itu sebagai habitat spesies amfibia itu.

Ketua Penolong Pengarahnya Normaliza Noordin berkata, penemuan 13 katak dan kodok itu disifatkan sebagai baik jika dilihat perbandingan data kajian dilaksanakan di Tasik Chini, Tasik Bera, Taman Negeri Diraja Belum dan Sungai Tembat, Tasik Kenyir.

“Kajian lain menemui 15 spesies di Tasik Bera, Sungai Tembat, Tasik Kenyir (16 spesies) dan Taman Negeri Diraja Belum (18 spesis),” katanya.

Menurutnya, menerusi persampelan intensif yang dijalankan, 205 katak dan kodok ditemui di kawasan tasik selain 190 ditemui di kawasan tanah lembab (wetland) menjadikan keseluruhan 395 ekor ditemui.

Normaliza berkata, kawasan itu ditumbuhi tumbuhan renek sebagai tempat teduhan dan perlindungan haiwan ini selain didorong ketersediaan makanan iaitu serangga kecil seperti semut, cengkerik, nyamuk dan sebagainya.

Selain katak dan kodok, TWP menjadi habitat kepada 178 spesies burung, 1,271 spesies serangga, 53 spesies ikan serta 36 spesies haiwan mamalia dan reptilia.

Normaliza berkata, pihaknya melaksanakan program pengurusan bersepadu tasik bagi mengekalkan konsep bandar dalam taman dan ekosistem di dalam pembangunan perbandaran.

Disiarkan pada: December 12, 2015 @ 8:31am
d