mutakhir

Pelakon Ip Man 3 serbu Melaka

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Barisan pelakon utama bersama penerbit filem aksi seni mempertahankan diri, Ip Man 3, akan menghadiri sesi bertemu dengan peminat di negeri ini pada majlis yang dijadualkan berlangsung di pusat beli-belah Mahkota Parade di sini, 19 Disember ini.

Acara yang julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur itu dihadiri bintang utama Ip Man 3 seperti Raymond Wong, Donnie Ten dan Lynn Xiong. Ia sebahagian daripada promosi sekuel filem berkenaan di Malaysia.

Pengurus pemasaran Hektar Property Services Sdn Bhd Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, pihaknya mengatur perancangan teliti untuk memastikan acara itu berjalan lancar.

“Mengikut perancangan, ada dua acara sampingan yang akan diadakan bersempena majlis itu selain beberapa aktiviti yang bermula lebih awal iaitu dari 11 Disember hingga 17 Disember bagi mempromosikan Ip Man 3 di Melaka.

“Lebih menarik, lima peminat bertuah akan dipilih untuk sesi bergambar bersama artis kesayangan mereka dengan menyertai pertandingan ‘Spend & Win Ip Man 3’,” katanya.

Mohd Zahiruddin berkata, dengan berbelanja RM250 dan ke atas di mana-mana premis perniagaan di Mahkota Parade, pemenang bukan saja berpeluang bergambar dengan artis kesayangan, malah berpeluang membawa pulang hadiah menarik.

Dua tiket wayang percuma juga ditawarkan kepada peminat yang menyertai peraduan Facebook (FB) ‘Snap & Win IP man 3’ dengan bergambar secara kreatif berlatar belakangkan poster filem itu.

Dua pemenang bertuah akan diberi penginapan dua hari satu malam di Club Room di Hotel Equatorial Melaka berserta baucar tunai RM250 serta hadiah menarik lain.

“Bagi memeriahkan lagi suasana sambutan acara ini, kami turut menganjurkan peraduan ‘Dress Like Ip Man’ di Mahkota Parade bermula jam 11 pagi, 19 Disember ini.

“Acara yang julung kali diadakan di Melaka ini dibawakan khas oleh Lotus Five Star dan RAM Entertainment selain beberapa penaja bersama,” katanya.

Pertanyaan boleh berhubung terus dengan Jabatan Pemasaran Mahkota Parade di talian 06-282 6151 atau layari laman rasmi FB Mahkota Parade atau www.mahkotaparade.com.my.

Disiarkan pada: December 12, 2015 @ 8:33am
d