mutakhir

Peniaga vape akur

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Sebahagian besar peniaga rokok elektronik atau vape di negeri ini akur dengan langkah kerajaan negeri melaksanakan pengharaman aktiviti penjualan produk berkenaan yang dikuatkuasakan bermula hari ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar bandar raya ini mendapati, kebanyakan peniaga sibuk mengosongkan stok di premis masing-masing sebagai langkah awal untuk mengelak tindakan undang-undang diambil sekiranya masih berdegil.

Peniaga melambakkan stok yang masih berbaki untuk dijual semula kepada peniaga di Kuala Lumpur bagi mengelak mereka mengalami kerugian besar, apatah lagi pasarannya masih ada di sana.

Tinjauan di beberapa lokasi popular untuk perniagaan vape di bandar ini turut mendapati, ada kalangan peniaga sudah menutup premis mereka sejak awal Disember lalu dan mengubah perniagaan lain bagi mengelak kerugian.

Peniaga vape yang ingin dikenali sebagai Adli, 27, berkata, dia terpaksa mengosongkan premis berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang yang dilaksanakan kerajaan negeri jika ingkar berbuat demikian.

Meskipun mengalami kerugian kira-kira RM100,000 dengan stok yang masih berbaki di premis perniagaan dan rumah dia terpaksa menjual semula produk berkenaan kepada rakan usahawan di Kuala Lumpur.

“Ini saja yang boleh saya lakukan. Saya bersama rakan kongsi terpaksa menjual pada harga pokok bagi mengelak kerugian lebih besar.

“Sekurang-kurangnya kami masih mempunyai alternatif untuk menjual produk ini semula biarpun tidak seperti diharapkan,” katanya yang memulakan perniagaan itu dengan modal sendiri berjumlah RM60,000 sejak sembilan bulan lalu.

Adli berkata, dia juga terpaksa memberhentikan dua pekerjanya, selain menanggung kos sewa kedai bernilai RM3,000 yang sudah ditandatangani untuk tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata semua peniaga vape perlu akur dengan arahan penguatkuasaan itu memandangkan tempoh sebulan diberikan sebagai persediaan bagi menutup operasi.

“Kita meminta semua pengusaha vape di Johor mematuhi arahan yang sudah dikeluarkan sebelum ini dan jika masih ada yang berdegil tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Ia termasuk operasi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa membabitkan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan polis mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 29 November lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penggunaan vape di Johor dan meminta premis berkenaan ditutup berkuat kuasa hari ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor mengharamkan kegiatan penjualan rokok elektronik itu dan jika ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976/(Akta 171) Undang-undang Kecil bahagian pelesenan.

Pengharaman berkenaan termasuk larangan menjual dan menyimpan vape di premis perniagaan berdasarkan lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Disiarkan pada: January 1, 2016 @ 8:45am
d