mutakhir

Tingkat keselamatan

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Masih ramai kontraktor dikesan gagal memenuhi keperluan keselamatan di tapak pembinaan selain menyediakan Penyelia Keselamatan Tapak (Site Safety Supervisor).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu menyebabkan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di lokasi pembinaan berada di tahap kurang memuaskan.

“Ini perlu dipertingkatkan segera. Ia menggambarkan mereka yang terbabit dalam sektor pembinaan tidak mementingkan keselamatan pekerja kerana industri ini berisiko tinggi,” katanya ketika mengulas kejadian besi perancah dan binaan konkrit di Lorong Sarawak, Taman Melawati runtuh jam 10.08 malam kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan seramai 25 pekerja kontrak warga Bangladesh terperangkap dan tersepit di bawah runtuhan sebelum diselamatkan petugas perubatan.

Lee berkata, kejadian menimpa pekerja warga Bangladesh itu amat menyedihkan dari aspek kemanusiaan berikutan mangsa berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga di negara asal.

“Sebelum ini, setiap kali berlakunya kemalangan di tapak pembinaan pasti akan ada pekerja warga asing maut atau mengalami kecederaan.

“Sudah pasti, kejadian menimpa pekerja kontrak itu menyukarkan kehidupan harian mereka serta ahli keluarga yang disara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun banyak kempen dan aktiviti kesedaran dilakukan pelbagai pihak namun kemalangan di tempat kerja masih terus berlaku.

“Pihak NIOSH berharap siasatan menyeluruh insiden besi perancah runtuh itu dapat dijalankan sebaiknya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kepada semua yang terbabit dalam industri pembinaan, mereka perlu mengambil iktibar serta melaksanakan penambahbaikan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, siasatan awal mendapati struktur cerucuk besi yang dibina di lokasi pembinaan itu tidak kukuh menyebabkannya runtuh sebelum menghempap pekerja yang sedang menjalankan kerja di bahagian bawah.

“Sehingga kini, seorang pekerja warga Bangladesh masih mendapatkan rawatan di Hospita Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan serius manakala 24 pekerja lain sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2016 @ 9:27am
d