mutakhir

Dunia simpati nasib Moussa

Kuala Lumpur: Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Moussa Yaacob berdepan pertuduhan berkaitan keganasan ekoran penahanannya Penjara Pusat Cox’s Bazar Bangladesh kerana memberikan sumbangan kepada pelarian Rohingya di sebuah kem di sana, 22 Disember lalu.

Penahanan Moussa mengundang reaksi tidak puas hati masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk dari Perancis dan Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah yang bersimpati dengan nasib pemuda mualaf itu kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan hanya membantu golongan memerlukan.

Berikutan itu, Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, satu mesyuarat bersama rangkaian aktivis MAPIM diadakan di Bangi semalam khusus membincangkan kaedah terbaik untuk membantu Moussa selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan melantik peguam bagi mewakilinya berdepan pertuduhan itu.

Katanya, Yayasan Barakacity yang disertai Moussa di Perancis turut berusaha mendapatkan pandangan pakar antarabangsa bagi mencari keadilan kepadanya dan mereka menerima ratusan ucapan simpati daripada komuniti Islam seluruh dunia.

“Pimpinan yayasan juga sudah berjumpa keluarga Moussa di Perancis dan mereka berdoa agar semuanya berada dalam keadaan terkawal. Mereka bersedia menerima apa juga kemungkinan dengan harapan semuanya akan baik belaka.

“Mesyuarat peringkat aktivis MAPIM juga memutuskan memberi apa juga bantuan sewajarnya termasuk mendapatkan pandangan pakar perundangan sekiranya perlu kerana kami menyifatkan ia sebahagian perjuangan kami selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya dimaklumkan Moussa berkemungkinan berdepan tuduhan melakukan aktiviti bersangkutan keganasan yang membahayakan negara itu.

Katanya, ketika ditahan bersama seorang lagi aktivis antarabangsa, polis menyoal siasat mereka, namun tidak berpuas hati dan mereka direman.

Pemerhatian Harian Metro di laman Facebook milik Moussa mendapati selain Perancis, kempen membebaskan aktivis giat dijalankan di Ukraine, Mauritania, China dan Algeria di mana mereka mengumpulkan tandatangan sebagai sokongan kepada Moussa dan aktivis kemanusiaan Islam.

Disiarkan pada: January 1, 2016 @ 9:52am
d