mutakhir

Ombak kian mengganas

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Terengganu yang mempunyai pesisiran pantai panjang hingga digelar ‘negeri pesisir pantai’ menyebabkan banyak kawasannya terdedah kepada hakisan terutamanya di musim tengkujuh.

Masalah hakisan dikesan lebih 10 tahun lalu dan semakin parah sejak kebelakangan ini terutama di kawasan Tok Jembal, Teluk Ketapang, Tanjung Gelam di Kuala Nerus, di sini, selain kawasan Pantai Rhu Renggeh sehingga Kelulut di Marang.

Situasi itu kian meruncing sehingga menyebabkan penduduk di kawasan berhampiran tidak dapat tidur lena terutama apabila tengkujuh bertandang.

Di kawasan di Kuala Nerus, sebelum ini hanya Pantai Tok Jembal dan pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang musnah teruk disebabkan hakisan tapi kini ia mula merebak ke Pantai Tanjung Gelam apabila lebih 100 meter kawasan pasir pantai ditelan ombak.

Dianggarkan, penduduk kampung menanggung kerugian hampir RM150,000 apabila banyak harta benda seperti wakaf, bot dan sampan nelayan serta chalet musnah sejak tiga bulan lalu selepas dihanyut ombak besar dan air pasang setinggi tiga meter.

Ketika ini, seramai 65 penduduk membabitkan 30 rumah di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus tidak tidur lena berikutan masalah hakisan pantai yang semakin buruk sejak Oktober lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara Abdul Rahman Bakar, 66, berkata, penduduk sentiasa hidup keresahan setiap kali musim tengkujuh apabila masalah hakisan yang berlaku seolah-olah tiada kesudahan.

Menurutnya, hakisan dipercayai berlaku disebabkan kerja penambakan dijalankan di Pantai Tok Jembal dan pantai UMT.

“Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi kami bimbang dengan keselamatan nyawa kami terutama setiap kali ombak besar, air pasang dan ribut.

“Walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri ada membina tambakan batu menghalang hakisan ini merebak ke rumah penduduk, kami masih bimbang kerana ia (hakisan) ini semakin hampir terutama setiap kali ribut dan ombak pasang besar.

“Bayangkan, dalam beberapa bulan saja sudah banyak harta benda kami dihanyutkan dan kami berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan Mohd Hafiz Abdullah, 39, apabila pagar di belakang rumahnya hanya menunggu masa untuk runtuh berpunca daripada hakisan yang berlaku.

Menurutnya, hakisan mula berlaku sejak 2009 tetapi ia semakin meruncing bermula tahun lalu dan berharap pihak berkaitan segera mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah hakisan pantai di kawasan berkenaan.

“Masalah hakisan ini bukan benda baru tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian jangka panjang yang baik. Setiap kali musim tengkujuh, setiap kali kami sebagai penduduk terancam.

“Saya berharap agar pihak berkaitan cari penyelesaian terbaik kerana kita bimbang generasi akan datang mungkin tidak berpeluang untuk bermain pantai kerana kawasan ini akan hanyut ditelan ombak,” katanya.

Bagi, Mohd Azmi Mohamad, 42, dia juga berasa terkilan dengan kejadian kemusnahan pantai yang terus berulang setiap tahun.

“Saya tidak nafikan memang ada tindakan yang diambil pihak berkaitan dengan membuat benteng pemecah ombak dan menambak batu besar di kawasan yang terjejas mengalami hakisan tetapi dilihat ia tidak menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pengusaha hasil makanan laut, Aziz Mat Nor, 53, di Kampung Rhu Muda, Marang turut berdepan ancaman hakisan pantai berikutan angin kencang dan hujan lebat serta ombak besar yang mula berlaku.

Menurutnya, dia mungkin berdepan kerugian jika air pasang besar berlaku yang menghakis dan merobohkan tempat memproses hasil makanan laut diwarisi sejak puluhan tahun.

“Sebelum ini, tempat memproses hasil makanan laut agak jauh dari laut tetapi ia mula terhakis sejak beberapa tahun lalu dan semakin serius pada tahun lalu apabila jarak tempat memproses dengan pantai hanya kira-kira lima meter sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2016 @ 7:07am
d