mutakhir

Mat rempit terlampau

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Tiga anggota polis termasuk seorang wanita cedera dipercayai dirempuh sekumpulan mat rempit yang cuba melarikan diri dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.

Susulan insiden itu, Ong Beow Chong, 43, berpangkat sarjan dari pasukan Simpanan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) patah kedua-dua tangan selain mengalami pendarahan di kepala, retak tulang muka dan bengkak di kedua-dua mata dan keadaannya dilaporkan stabil serta dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Manakala Wan Norhushafarizan Md Husain, 30, cedera ringan di kaki kanan dan lutut kiri serta tangan dan Muhammad Rusdey Rosli, 24, pula cedera ringan dan kedua-duanya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Operasi membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira jam 4 pagi itu tertumpu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran The Light dan susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga anggota berkenaan sedang melakukan sekatan jalan raya di kawasan terbabit dan mereka cuba memberhentikan kumpulan bermotosikal untuk pemeriksaan.

“Ketika semua kenderaan berhenti, secara tiba-tiba muncul sebuah motosikal dari celah kenderaan yang banyak lalu merempuh anggota polis yang membuat kawalan dan sekatan.

“Akibat rempuhan kuat itu, tiga anggota cedera manakala dua penunggang motosikal berusia 24 dan 19 tahun turut dilaporkan cedera dan dibawa ke HPP untuk rawatan,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja itu dilaporkan cedera di kaki serta muka dan polis menahan remaja berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kerana dipercayai merempuh anggota polis.

Menurutnya, seramai 550 orang dan 531 motosikal diperiksa sebelum 49 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan manakala lima motosikal disita atas kesalahan ubah suai.

Disiarkan pada: January 2, 2016 @ 7:19am
d