mutakhir

20,000 dalam bahaya

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Nyawa kira-kira 20,000 pelarian Palestin dan Syria yang ditempatkan di beberapa penempatan sementara termasuk di Kem Thur, Lubnan boleh melayang bila-bila masa berikutan sering berlakunya kebakaran.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut yang baru pulang beberapa hari lalu selepas dua minggu melawat beberapa kem pelarian di sempadan Lubnan-Turki selain menyalurkan bantuan RM500,000 daripada Aman Palestin Berhad.

Menurut Awang Suffian, kem kelolaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan menggunakan khemah diperbuat daripada kain.

“Pelarian pula dilapor memasak di dalam khemah berkenaan sehingga berlakunya beberapa kebakaran yang ada kes sehingga meragut nyawa,” katanya menggambarkan situasi getir sering dihadapi pelarian di kem berkenaan selain kesejukan.

Ditanya wartawan jenis bantuan disalurkan pihaknya sepanjang misi bantuan musim sejuk itu, Awang Suffian berkata, selain barangan makanan dan bantuan persekolahan pihaknya juga menyediakan modal kepada pelarian Syria di sana (beberapa kem di sempadan) untuk berniaga.

“Kami beri modal dan bahan mentah kepada mereka (pelarian) untuk berniaga sayur-sayuran dan lain-lain barangan runcit supaya mampu menjana ekonomi di kawasan itu. Jumlah semua sumbangan adalah RM500,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pelarian Palestin dengan menjangkakan RM50 juta akan disalurkan kepada rakyat Palestin tahun ini untuk proses pembinaan masjid, sekolah dan sebagainya di Gaza dan Masjidil Aqsa (Tebing Barat).

“Bagi bantuan musim sejuk pula, kita akan buka kempen ini sehingga Februari untuk orang ramai terus menyalurkan bantuan,” katanya memberitahu, rombongan kedua akan ke sempadan Lubnan-Turki hujung bulan ini untuk meneruskan bantuan musim sejuk yang kedua kepada pelarian Syria dan Palestin di sana.

Dalam perkembangan lain, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyalurkan RM129,000 (AS$30,000) kepada pelarian Rohingya di sebuah kem di Chittagong, Bangladesh pada 2 hingga 6 Disember lalu.

Pegawai Sukarelawan MAPIM Aisyah Abdul Halim berkata, antara bantuan disalurkan kepada pelarian Rohingya di kem di Cox Bazar, Bangladesh berupa bantuan persekolahan, sumber air bersih (tube well) dan projek ternakan ayam.

Menurutnya, pihaknya memilih 50 keluarga untuk mengusahakan ternakan ayam.

“Setiap keluarga diberi 10 ekor ayam untuk diternak sebelum dikomersialkan. Sebanyak 20 ‘tube well’ ataupun sumber air bersih yang setiap satunya bernilai RM800 dipasang bagi memudahkan setiap pelarian (dapat air bersih),” katanya.

Menceritakan pengalamannya selama empat hari di kem berkenaan, Aisyah berkata, rombongannya diganggu samseng tempatan yang cuba mengenakan bayaran sebelum pihaknya memasuki penempatan yang menempatkan ribuan pelarian itu.

“Hasil rundingan kami berjaya masuk sebelum menyalurkan bantuan seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata, siri bantuan kedua akan diteruskan, malah pihaknya akan kembali ke kawasan berkenaan pada hujung bulan ini untuk memantau perkara berkenaan.

Disiarkan pada: January 4, 2016 @ 8:33am
d