mutakhir

Tangan tersangkut demi cincin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki mahu menyelamatkan cincin perkahwinan yang terjatuh ke dalam longkang sebaliknya menyebabkan empat jari tangan kirinya tersangkut pada jeriji besi longkang berhampiran Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke).

Dalam kejadian jam 11.03 malam kelmarin, mangsa ditimpa malang ketika sedang melakukan kerja pembersihan di lebuh raya itu.

Bagaimanapun cincin perkahwinan dipakai terjatuh ke dalam parit secara mendadak.

Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 malam dan sepasukan anggota JPAM Dang Wangi bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan daripada bilik kawalan Lebuhraya DUKE. Difahamkan mangsa berasal dari Bangladesh dan berusia 30-an.

“Setibanya di lokasi, anggota JPAM mendapati empat jari tangan kanan mangsa tersekat di antara ruangan jeriji besi menyebabkan berlaku pendarahan,” katanya.

Shahrul Kamar berkata, siasatan awal mendapati mangsa cuba untuk mengambil cincin berkenaan namun gagal.

Katanya, jari mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pihak JPAM sebelum dia diberi rawatan kecemasan oleh anggota JPAM.

Disiarkan pada: January 6, 2016 @ 5:57am
d