mutakhir

Mati berebut anak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Keengganan seorang wanita membenarkan anak perempuannya dibawa ke negara asal suaminya bertukar mimpi ngeri apabila lelaki terbabit mati beberapa minit selepas berlaku pertengkaran antara mereka tengah malam, semalam.

Kejadian jam 12 tengah malam itu berlaku di rumah pasangan itu di Setia Alam, bermula apabila Shijie, 39, dikatakan berkeras mahu membawa anak perempuan mereka yang berusia empat bulan pulang ke kampung asalnya di Liaoning, China.

Mangsa juga dikatakan enggan berbincang selain mengugut menceraikan isterinya dan sudah mengemas pakaian dan pasport anaknya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya, semalam.

Tindakannya itu menyebabkan isterinya yang berusia 37 tahun tidak bersetuju sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah mereka di Setia Alam.

Difahamkan, pasangan berkenaan berkahwin sejak empat tahun lalu dan menjalankan perniagaan membekal pekerja di negara ini bertengkar sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa yang bertindak agresif dikatakan cuba melempar anaknya ke lantai, namun berjaya ditahan seorang daripada ahli keluarga isterinya itu.

Beliau berkata, disebabkan bimbang mangsa bertindak lebih agresif, ibu mentuanya kemudian menghubungi beberapa ahli keluarga untuk berbincang dan cuba menenangkan mangsa.

“Ketika ahli keluarga isterinya iaitu bapa, adik dan seorang rakan adiknya tiba di rumah berkenaan, mangsa terus bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

“Namun tidak lama selepas itu, mangsa tiba-tiba rebah di lantai sebelum sepasukan ambulans dipanggil ke rumah berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan. Pihak hospital kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Shafien berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik mendapati mendapati mangsa lebam pada mata kiri, bibir dan bengkak di belakang kepala namun tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini empat individu iaitu isteri mangsa, bapa, adik serta seorang rakan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: January 6, 2016 @ 5:57am
d