mutakhir

Mahu ikut jejak abang dan kakak

Sungai Siput: Seorang pelakon dan pengacara kanak-kanak antara 50 pelajar tingkatan satu yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah di sini, menerusi Program Pendidikan Seni di bawah program Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMPk), semalam.

Muhd Danish Zakwan Mohd Fadzal, 13, atau lebih dikenali Danish Zakwan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur memilih sekolah berkenaan berikutan mahu mengikut jejak abang, Mohd Thaqif Safwan, 20, dan kakaknya, Fatin Najihah, 18, belajar di Sekolah Seni Malaysia Johor beberapa tahun lalu.

Danish yang popular menerusi drama Geng UPSR dan pengacara program Banana Squad berkata, meskipun dia mempunyai pengalaman dalam kedua bidang seni itu sejak berusia enam tahun, namun mahu menambah ilmu dalam bidang muzik selain memfokuskan pembelajaran akademik.

“Ketika mula terbabit dalam industri, saya memang sudah terbabit dalam dunia muzik dengan membuat persembahan muzik jalanan (busking) di Bukit Bintang bersama kumpulan Wakaka.

“Keputusan saya memasuki program ini adalah pilihan sendiri yang turut disokong keluarga dan pengarah kerana ini masa yang sesuai untuk fokus dalam bidang akademik dan seni,” katanya yang menyimpan cita-cita bergelar pengarah dan pada masa sama berjaya dalam bidang muzik.

SMK Muhibbah dicadangkan sebagai langkah permulaan Kementerian Pendidikan mewujudkan Sekolah Seni Malaysia (SSeM) keempat selepas Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur serta membabitkan zon utara termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis selain negeri ini.

Bagaimanapun, sesi pendaftaran pertama program itu mendapat sambutan daripada pelajar negeri lain termasuk Terengganu dan Selangor.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Rozainum Ahmad berkata, pengambilan pelajar di sekolah berkenaan menggunakan strategi pengoperasian secara berfasa sebelum mewujudkan SSeM sepenuhnya membabitkan pelajar tingkatan satu hingga lima menjelang 2020.

Beliau berkata, ibu bapa yang menghantar anak-anak menyertai program itu berikutan lapangan kerjaya dipilih mereka apabila dewasa nanti membabitkan pelbagai bidang seni dan tidak hanya menjurus ke arah lakonan dan muzik.

Disiarkan pada: January 7, 2016 @ 6:05am
d