mutakhir

Raja Gelek terharu diziarah ratusan individu

Teluk Intan: Raja Gelek Datuk M Daud Kilau, 77, menitiskan air mata tidak dapat menahan perasaan terharu apabila diziarahi ratusan peminat, kenalan serta sanak saudaranya di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, sejak pagi semalam.

M Daud Kilau yang terlantar di Wad 2A hospital berkenaan tidak putus-putus menerima kunjungan selepas berita dirinya dirawat akibat komplikasi membuang air kecil tersebar luas di Internet dan media massa.

Isterinya Datin Rohani Awang Ngah, 53, berkata, sejak pagi semalam orang ramai serta sanak-saudaranya tidak putus-putus datang bertanyakan khabar, malah tidak kurang juga yang mengambil kesempatan bergambar dengan suaminya.

“Beliau (suami) sungguh terharu dan ada kala menitiskan air mata melihat ramai peminat datang memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Keadaan ini secara tidak langsung memberi beliau semangat yang lebih untuk cepat sembuh,” katanya ketika di temui di HTI di sini .

Menurutnya, suaminya dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

Sementara itu, anak lelakinya Ahmad Zaini, 44, pula berkata, beberapa program hiburan yang dijanjikan dan dirancang bapanya terpaksa dibatalkan berikutan masalah kesihatan dihidapi.

Menurutnya, antaranya persembahan di Bukit Merah Lake Town Resort pada Jumaat ini dan persembahan pada majlis jamuan makan malam di Kuala Lumpur pada 6 Februari.

Kelmarin, artis veteran kelahiran Bagan Datoh itu atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau dimasukkan ke wad hospital itu sejak Ahad lalu selepas mengadu sukar membuang air kecil.

Begitupun, keadaan penyanyi yang popular dengan lagu, Cek Mek Molek berkenaan beransur pulih selepas menerima rawatan di hospital terbabit, malah beliau sendiri menaruh keyakinan mampu menghiburkan peminat selepas keadaan kesihatannya bertambah baik.

Disiarkan pada: January 7, 2016 @ 6:16am
d