mutakhir

Lima ditahan kes samun pelancong

Kota Kinabalu: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis dalam tempoh 12 jam kerana terbabit dengan kes samun seorang pelancong warga Jepun yang juga Naib Presiden Persekutuan Bina Badan Asia di Lorong Haji Yaakob, Kampung Air di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, semua suspek berusia 20 tahun hingga 34 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Asia City dan Sembulan bermula jam 12.55 tengah malam hingga 3 pagi semalam susulan laporan polis dibuat mangsa.

“Hasil maklumat serta risikan, kami menahan kelima-lima suspek termasuk wanita berusia 29 tahun kerana terbabit dalam kes samun itu.

“Tangkapan pertama membabitkan tiga individu di sebuah hotel di Asia City pada jam 12.55 tengah malam manakala tangkapan kedua membabitkan dua lagi suspek di kawasan sebuah pangsapuri di Sembulan, jam 3 pagi hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Chandra berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 34 tahun kerugian RM2,050 selepas dompetnya disamun empat lelaki ketika dia mengunjungi sebuah premis di lokasi berkenaan.

Mangsa kemudian melaporkan kejadian terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Berdasarkan laporan dibuat, mangsa berjalan kaki di lorong berkenaan selepas selesai menikmati makan tengah hari di Kampung Air sebelum dipelawa suspek wanita untuk berkunjung ke sebuah premis terletak di tingkat dua sebuah rumah kedai.

“Ketika berada di situ, empat lelaki tidak dikenali tiba-tiba merampas dompet mangsa sebelum berlaku pertelingkahan sesama mereka. Kebetulan, seorang anggota polis yang sedang menjalankan operasi narkotik di situ melalui lokasi berkenaan dan dia kemudiannya meleraikan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, selepas kejadian, Chandra berkata, mangsa memuat naik status dan video di laman sosial Facebooknya (FB) berkaitan kejadian sehingga menjadi viral dalam kalangan pengguna laman sosial.

“Dalam video dan status FB mangsa, dia mendakwa anggota polis terbabit disyaki bersekongkol dengan suspek kes samun itu. Bagaimanapun, saya ingin jelaskan bahawa mangsa salah faham berkaitan pembabitan anggota polis berkenaan.

“Mangsa terserempak dengan anggota polis berkenaan di IPD Kota Kinabalu ketika dia membuat laporan polis berkaitan kejadian lalu tersalah anggap bahawa anggota polis itu bersekongkol dengan suspek,” katanya.

Tambah beliau, kontroversi berkenaan juga berlaku akibat salah faham di antara mangsa dan anggota polis berkaitan berikutan dialek bahasa Inggeris mangsa sukar difahami ketika kejadian itu berlaku.

“Sehubungan itu, melalui penahanan suspek dan wang tunai mangsa ditemui semula, kami anggap kes samun ini selesai.

“Kami harap orang ramai khususnya penduduk daerah ini tidak lagi menyebarkan khabar angin berkaitan kes ini memandangkan dakwaan anggota polis berkenaan terbabit dengan kejadian samun ini sama sekali tidak benar,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 7, 2016 @ 6:20am
d