mutakhir

Dicekup baru 5 hari edar dadah

Melaka: Sekumpulan empat pengedar dadah yang dipercayai baru saja lima hari berjinak-jinak dalam aktiviti itu dicekup polis dalam serbuan di rumah pangsa di Semabok, di sini, pagi kelmarin.

Serbuan jam 8.40 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Melaka Tengah selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah.

Difahamkan, suspek berusia 38 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar di kawasan sempadan negara ini sebelum dijual kepada penagih sekitar Kampung Gelam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam unit rumah pangsa didiami suspek, pihaknya menemui dadah disyaki heroin seberat 509 gram dan syabu 55 gram dianggarkan RM14,000.

“Bahan dipercayai dadah ini disembunyikan di dalam bilik tidur di unit kediaman berkenaan Selain itu, semua suspek yang diarahkan menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah methapetamine.

“Kami turut merampas tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Toyota Vios dan BMW X5 yang disyaki digunakan suspek dalam aktiviti pengedaran dadah serta wang tunai RM2,000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM175,000,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan semakan terhadap suspek dan mendapati mereka mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Menurutnya, hasil semakan dilakukan terhadap tiga kenderaan yang dirampas, pihaknya mendapati Toyota Vios yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Susulan kejayaan ini, kami mengesan kemungkinan kaitan suspek dengan mana-mana kumpulan pengedar dadah. Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam (kelmarin) sehingga Selasa depan (12 Januari),” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2016 @ 7:53am
d