mutakhir

Hamba sindiket telefon auta

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Dijanjikan pekerjaan di Malaysia sebelum dikurung dan dijadikan hamba ‘sindiket telefon auta’.

Itu nasib malang dialami 37 warga China dan Taiwan yang diperdaya sindiket penipuan antarabangsa berpangkalan di ibu kota.

Sindiket ‘Macau Scam’ itu dikesan memaksa mereka ditipu itu menghubungi sasaran mangsa menggunakan telefon disediakan setiap hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, 37 mangsa itu diselamatkan polis selepas dua banglo dihuni di Bukit Damansara dan Damansara Height diserbu polis, Selasa lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan ‘Ops Pelikan’ diketuai Superintendan Mohd Nor Yhazid Idris itu, dua wanita dan 35 lelaki berusia 21 hingga 41 tahun ditemui dikurung di dalam banglo itu.

“Bagaimanapun, dalang utama sindiket tidak berada di lokasi kejadian ketika serbuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditawan ahli sindiket di dua banglo mewah disewa sebaik tiba di negara ini dua bulan lalu.

“Meskipun mereka disediakan segala keperluan asas, namun mangsa mendakwa dikurung dan perlu menuruti segala arahan ahli sindiket.

“Mereka diberikan skrip khas dan ribuan nombor telefon. Tugas mereka menghubungi mangsa di China dan Taiwan setiap hari mengikut skrip ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, semua mereka dikesan memasuki Malaysia menggunakan visa pelawat dipaksa menipu mangsa di China dan Taiwan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan telekomunikasi yang digunakan sindiket termasuk modem dan telefon.

“Modus operandi digunakan suspek adalah dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank dan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank lain kononnya akaun bank mereka akan dibekukan.

“Suspek kemudian berpura-pura membantu mangsa memindahkan wang sebelum melarikan semua wang itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis negara China dan Taiwan untuk mengesan mangsa dan mengenal pasti jumlah kerugian dialami.

Disiarkan pada: January 8, 2016 @ 8:25am
d