mutakhir

Empat parah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Tanah Merah: Empat mangsa termasuk seorang wanita cedera parah apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 82.9, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Kampung Chedok, Bukit Bunga, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari menyebabkan tiga sekeluarga cedera parah iaitu Maznah Sulaiman, 63, dan dua anaknya, Wan Hazmir Wan Hamdan, 44, dan Wan Ahmad Muhsin, 28, yang menaiki kereta Perodua Viva.

Maznah adalah ibu kepada penyanyi loghat Kelantan popular, Wan Nukman, 35, atau lebih dikenali sebagai Man Khan.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta Perodua MyVi, Mohd Nazim Rosdi, 34, manakala anaknya, Mohd Nazmi, 2, cedera ringan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan.

Man Khan ketika dihubungi berkata, dia menerima berita kemalangan ibu bersama abang dan adiknya itu kira-kira jam 1 tengah hari selepas dimaklumkan oleh saudaranya yang ketika itu berada di bandar Tanah Merah.

“Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jedok selepas emak selesai berniaga di Pasar Jeli.

“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan mengatakan emak, abang dan adik terbabit dalam kemalangan.

“Syukur alhamdulillah, semua selamat tetapi emak patah tulang di beberapa tempat, manakala abang, Wan Hazmir patah tulang rusuk.

“Adik, Wan Ahmad Muhsin, pula patah paha kiri, kaki kanan dan lutut kanan pecah dan kini dirujuk ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Mohd Nazim dari arah Tanah Merah ke Jeli gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva dipandu Wan Ahmad Muhsin.

Disiarkan pada: January 9, 2016 @ 5:09am
d