mutakhir

Alamak!

Oleh Aizat Sharif

Kangar : Selepas dikejutkan dengan penyitaan bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada 2006 kerana gagal melunaskan ganti rugi RM6.3 juta, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berdepan kemelut terbaru apabila terdapat dua individu memegang jawatan setiausaha.

Hal itu kerana Setiausaha MPK sebelum ini, Suhaimi A Majid, 57, mendakwa masih kekal dengan jawatan itu berikutan tiada sebarang notis pemberitahuan daripada MPK mahupun kerajaan negeri untuk mengosongkan jawatannya.

Bagaimanapun, Suhaimi terpaksa memberi laluan kepada Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, 39, yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Perlis di Unit Pentadbiran Daerah (UPD), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perlis untuk memegang jawatan itu kerana dilantik kerajaan negeri.

Suhaimi dilihat keluar dari pejabat MPK ketika mesyuarat tergempar PBT berkenaan diadakan berhubung kemelut yang berlaku.

Pada mulanya, beliau enggan memberi komen kepada wakil media yang menunggu di pekarangan pejabat berkenaan sebelum bersetuju menceritakan apa yang berlaku melalui panggilan telefon.

“Saya adalah kakitangan MPK dan berkhidmat sebagai setiausaha sejak 1990 dengan Gred 41 melalui pelantikan yang dilakukan MPK sebelum dinaikkan ke Gred 48 pada 2007.

“Namun, agak menghairankan apabila tidak semena-mena jawatan yang dipegang ini diisi oleh pelantikan seorang individu tanpa apa-apa notis pemberitahuan diberikan dengan saya dibiarkan begitu saja,” katanya.

Suhaimi juga mendakwa khabar angin mengenai perlantikan setiausaha baru menggantikannya sudah bertiup dan berlegar di pejabatnya sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, bukan saja tidak diberitahu mengenai pelantikan itu, malah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mat Hassan, Yang Dipertua MPK Ahmad Hussin dan Setiausaha MPK yang baru, Wan Ahmad Fazli juga tidak memintanya bertemu dengan mereka untuk menjelaskan perkara sebenar.

Menurutnya, beliau masih menganggap dirinya sebagai Setiausaha dan belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fazli ketika ditemui berkata, perkhidmatannya sebagai setiausaha bermula sejak Isnin lalu, namun beliau sudah mengetahuinya pada akhir tahun lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kemelut dua setiausaha yang melanda pentadbiran MPK.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Ahmad gagal apabila beliau enggan menjawab sebarang pertanyaan, malah menghalau wartawan keluar dari biliknya.

Disiarkan pada: January 9, 2016 @ 5:11am
d