mutakhir

Mencari sejarah hilang

Oleh Salman Hamat dan Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyediakan satu geran khas kepada pengkaji tempatan untuk mengesan semua dokumen atau catatan di zaman kegemilangan empayar Melaka termasuk sejarah Laksamana Hang Tuah bagi membuktikan kewujudannya kepada generasi masa depan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Kamarul Baharin A Kassim berkata, ini kerana sebahagian besar rujukan sejarah itu bersandarkan dokumentasi yang direkodkan penjajah Inggeris disebabkan tidak wujud sistem penyimpanan rekod di zaman kegemilangan tamadun Melayu.

Beliau berkata, disebabkan masalah itu, proses mencari maklumat mengenai sejarah dan tamadun Melayu secara tepat mengalami kesukaran sehingga menimbulkan polemik seperti kewujudan Hang Tuah.

“Pencarian dokumen seperti hikayat, sajak dan syair boleh dilakukan dengan mengakses bahan sejarah itu di beberapa tempat simpanan seperti universiti luar negara.

“Ini kerana universiti di negara itu sudah wujud pada abad keenam menyebabkan saya yakin maklumat mengenai tamadun Melayu mampu diperoleh sekiranya dibuat secara komprehensif,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Kamarul Baharin berkata, tamadun Melayu pada zaman lampau sangat tinggi sehingga bahasa Melayu digunakan sebagai ‘lingua franca’ atau bahasa utama perdagangan, tetapi kegemilangan itu tidak menjadi kebanggaan generasi sekarang.

Sebagai contoh, katanya, sejarah mencatatkan bahtera yang dibina oleh orang Melayu pernah dikatakan berada hampir di semua pelabuhan di dunia.

“Orang Inggeris sendiri mengakui kehebatan teknologi pembinaan bahtera kita, tetapi ia digunakan semata-mata untuk perdagangan bukan penaklukan seperti Sepanyol, Belanda atau Portugis. Malangnya, kemahiran atau teknologi pembinaan bahtera itu lenyap selepas penjajah menghapuskan generasi pembuat bahtera,” katanya.

Sementara itu, di Melaka, Pengasas Pusat Penyelidikan Warisan Wong Kampung (WAK) Datuk Dr Ibrahim Ghaffar berkata, kekurangan kajian dan fakta yang tepat menyebabkan berlaku kekeliruan dalam masyarakat terutama apabila ada pihak mendakwa Hang Tuah sekadar mitos dan timbul pihak mengaku sebagai pewaris Kesultanan Melayu Melaka.

“Saya yakin jika kerajaan menyediakan geran secukupnya, ramai pengkaji universiti awam (UA) tempatan tampil melakukan kajian, akhirnya memberikan faedah kepada masyarakat di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD) di Duyong, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi PESAWAD Khalid Hussin berkata, kajian mengenai Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka perlu dilakukan secara mendalam kerana kedua-duanya saling berkait.

“Kami sedia membantu, ia mungkin mengambil masa kerana perlu dilakukan secara teliti untuk mendapat fakta yang betul,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2016 @ 5:09am
d