mutakhir

Lahir 10,000 usahawan

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Kabinet bagi membantu usahawan muda menimba ilmu dan kemahiran untuk memulakan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan beliau sendiri dengan pembabitan pelbagai kementerian ke arah melahirkan 10,000 usahawan muda menjelang 2020 dengan purata 2,000 orang setahun di bawah bimbingan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selaras dengan program 1Keluarga 1Usahawan.

Katanya, terdapat pelbagai kementerian dan agensi ditubuhkan kerajaan untuk memberi bantuan dan dana kepada usahawan baru selepas pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan, justeru satu penyelarasan hendaklah dilakukan.

“Itulah sebabnya saya lakukan sendiri penyelarasan jawatankuasa khas ini dengan membabitkan ramai menteri dan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) yang akan membantu untuk melihat hasilnya,” katanya ketika berucap melancarkan Seminar Siri Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Hadir sama, Pengerusi PUNB Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa JUMP Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Seminar anjuran Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya (Pakar Berjaya) yang dihadiri 1,000 peserta turut menampilkan beberapa usahawan berjaya seperti Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, Datuk Dr Lawrence Welter Ng, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman serta usahawan selebriti Fizo Omar sebagai penceramah untuk berkongsi idea dan strategi perniagaan mereka.

Ahmad Zahid berkata, mengikut statistik sebanyak 61 peratus usahawan Bumiputera kurang berkemampuan menjalankan kajian pasaran, 60 peratus belum mampu menyediakan laporan kewangan dan 58 peratus kurang mahir menentukan aliran produk.

“Sebanyak 26 peratus usahawan berpeluang mengikuti latihan keusahawanan selama enam bulan dan 57 peratus pula menikmati latihan keusahawanan kurang enam bulan.

“Sebagai tanda sokongan kepada program pembangunan usahawan muda, kerajaan bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM1 juta untuk program JUMP 2016,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan segelintir ahli politik yang mengutamakan perniagaan dan kepentingan peribadi berbanding khidmat kepada rakyat serta meminta mereka berundur kerana sikap sedemikian merosakkan nama baik parti dan negara.

“Elaklah, agar tidak berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Harus ada titik pemisah kerana negara akan rosak kalau ada golongan seperti ini,” katanya.

Menurutnya, beliau melihat perkara itu dengan mata hati dan bukan mata kasar sebagaimana tindakan ‘punahsihat’ terbabit menggunakan kedudukan untuk mendapat tender yang akhirnya memusnahkan nama tokoh politik, sedangkan untuk berjaya ia memerlukan ketelusan.

Disiarkan pada: January 10, 2016 @ 5:12am
d