mutakhir

Bagai mimpi

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: “Saya seperti bermimpi dan tidak percaya apabila menerima surat insurans bencana banjir 2014 daripada FELCRA yang menyatakan saya menerima RM9,702.

“Ia lapan kali ganda daripada anggaran kerugian dalam permohonan saya,” kata penduduk Kampung Temai, di sini, Suadziah Harun, 55.

Wanita itu berkata, kejadian banjir dua tahun lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air dalam tempoh yang lama hingga menyebabkan beberapa barangan perabot dan elektrik rosak.

Menurutnya, Kampung Temai dan beberapa kampung bersebelahan terkenal dengan ‘banjir termenung’ setiap kali kejadian banjir berlaku iaitu air mengambil masa lama untuk surut sehingga dua atau tiga minggu menyebabkan aktiviti penduduk terjejas.

“Selaku peserta FELCRA, saya bersyukur menerima insurans bencana banjir yang begitu besar dan akan gunakan untuk membeli barangan kelengkapan rumah,” katanya.

Dia ditemui selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insurans Banjir 2014 FELCRA Berhad bagi daerah Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini, kelmarin.

Ia disampaikan oleh Pengurus FELCRA Berhad Wilayah Pahang Datuk Hazrinor Hisham Harun.

Seorang lagi penerima, Zaliah Daud, 62, berkata penantian hampir setahun untuk mendapat insurans berkenaan ternyata berbaloi apabila menerima bayaran RM13,650, jauh lebih besar daripada jumlah kerugian.

“Kejadian banjir 2014 menyebabkan air dalam rumah saya mencecah lebih satu meter. Air yang cepat naik menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik dan perabot.

“Ketika itu, saya hanya mampu menangis melihat air masuk ke dalam rumah... kejadian banjir besar selepas 2007 itu seolah-olah meragut semangat saya sebagai ibu tunggal,” katanya.

“Saya bersyukur dengan apa yang diterima ini... saya akan mengadakan majlis tahlil arwah suami dan kenduri kesyukuran,” katanya.

Sementara itu, Hazrinor Hisham berkata, pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap kebajikan peserta yang berhadapan dengan apa juga musibah.

“Pada kejadian banjir 2014 seramai 1,681 peserta seluruh negeri menerima insurans bencana berjumlah hampir RM14 juta. Setiap peserta menerima antara RM300 hingga RM19,750,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 9:02am
d