mutakhir

Mencegah mudarat

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang memutuskan vape adalah haram mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dan tidak sepatutnya menjadi pertikaian mana-mana pihak.

Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad berkata, biarpun keputusan itu bersifat nasihat, namun ia bergerak seiring dengan majlis fatwa kebangsaan yang berkuasa mengeluarkan sesuatu hukum.

“Majlis Fatwa menggunakan kaedah fiqah dalam membuat keputusan ini iaitu dengan mengambil kira segala kemudaratan kepada kesihatan.

“Selain mempertimbangkan secukup-cukupnya pandangan daripada pakar perubatan, impak negatif didapati banyak terkandung dalam penggunaan rokok elektronik atau vape.

“Kandungan cecair vape yang terdiri daripada nikotin juga diklasifikasikan sebagai racun dan ia boleh menjejaskan kesihatan. Jadi, di situ terbukti jatuh hukum haram untuk produk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut mengenai hukum haram bagi segala aktiviti vape yang semata-mata bersifat nasihat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menurut Muhamad Shukri, pembelian vape juga disifatkan sebagai pembaziran memandangkan ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada sesiapa.

“Apabila sesuatu perkara itu bersifat pembaziran dan lagho (leka), maka jatuh hukum haram dan wajib bagi umat Islam untuk meninggalkannya dan segera bertaubat.

“Perkara ini sama bagi rokok dan shisha, malah majlis fatwa sudah lama mengharamkan semua produk berkaitan supaya umat Islam meninggalkan perkara yang sia-sia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya menyokong fatwa yang dikeluarkan itu sebagai langkah pencegahan awal dalam menangani akibat yang buruk sekiranya ia dibiarkan.

“Segala akibat yang diramal perlu dianggap sebagai sesuatu yang sudah berlaku dan bukannya tunggu sehingga ia benar-benar terjadi,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 9:05am
d