mutakhir

Lima kampung dipilih UMT perintis basmi kemiskinan

Jertih: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih lima kampung nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, di sini, untuk dijadikan projek perintis membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk perkampungan nelayan negeri itu.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, pemilihan kampung berkenaan dibuat berdasarkan tahap kemiskinan dan sosioekonomi yang dihadapi penduduk selepas dibuat kajian oleh pentadbir universiti terbabit.

Katanya, lima kampung itu ialah Kampung Alur Pisang, Kampung Nail, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Gong Tengah dan Kampung Seri Kemunting membabitkan 142 keluarga yang bekerja sebagai nelayan pantai.

“Menerusi projek dikenali Program Inovasi Sosial, UMT alam memperkenalkan program berasaskan ekonomi, pendidikan, agama, kesihatan dan kemahiran.

“Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara universiti dengan komuniti setempat menerusi aktiviti yang dijalankan dalam tempoh berakhir pada penghujung tahun ini.

“Program ini mendapat kerjasama kerajaan negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan beberapa agensi kerajaan negeri dan Pusat,” katanya selepas majlis pelancaran program itu, di sini, kelmarin.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Dr Nik Aieni berkata, KPT memperuntukkan RM200,000 untuk melaksanakan program dalam setahun bagi mengenali kehidupan masyarakat nelayan negeri ini.

Menurutnya, Pusat Transformasi Komuniti (UCTC) universiti membantu masyarakat dalam proses pemindahan ilmu dan teknologi maklumat kepada penduduk.

Katanya, 200 pelajar dan 40 pensyarah terbabit melaksanakan program itu dan mereka juga turut berkampung bersama penduduk dan tinggal dengan keluarga angkat masing-masing.

Sementara itu, Tengku Zaihan berkata, pemilih Kuala Besut sebagai projek perintis membasmi kemiskinan oleh UMT amat tepat dan sesuai kerana ia sebuah perkampungan tradisional nelayan yang memerlukan transformasi kehidupan.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 10:04am
d