mutakhir

Biarkan aku dan deritaku

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Pasir Mas: Seorang warga emas sanggup tinggal di pondok usang serba daif di Kampung Apa-Apa di sini, kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa sejak lima tahun lalu.

Wan Ismail Wan Saman, 69, walaupun mengakui tidak selesa tinggal di pondok itu, namun dia sanggup hidup bersendirian.

“Pondok yang saya diami ini menggunakan bekalan air dan elektrik disambungkan dengan rumah adik yang terletak berdekatan.

“Pondok ini mempunyai satu ruangan kecil sahaja, dan situlah tempat untuk saya memasak dan tidur,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebelum ini, dia mengambil upah sebagai penoreh getah di ladang getah di Jerek, Dabong namun selepas bapa saudaranya meninggal dunia, dia mengambil keputusan untuk menetap di Pasir Mas.

“Sejak saya berhenti mengambil upah, saya tidak lagi mempunyai pendapatan dan mengharapkan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya turut mempunyai masalah pendengaran.

Wan Ismail berkata. sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan warga Thailand dan dikurniakan dua anak, namun perkahwinan tidak kekal lama apabila isteri meninggalkannya tanpa sebarang alasan lima tahun lalu.

“Sekali sekala ada juga anak datang menjenguk dan bertanya khabar, itupun bukan selalu kerana saya memahami mereka tinggal jauh.

“Biarlah saya habiskan sisa usia emas di sini,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Wan Ali Wan Saman, 39, berkata, sebelum ini, abangnya itu pernah tinggal bersama-sama dia dan keluarganya, namun hanya beberapa bulan sahaja kerana menganggap dirinya menyusahkan mereka sekeluarga.

“Pada ketika itu, berat untuk saya melepaskannya pergi kerana usianya yang sudah tua, dia memerlukan orang di sisi untuk menjaganya.

“Bagaimanapun, bila ada kelapangan saya selalu datang menjenguknya,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 10:06am
d