mutakhir

Majlis persandingan bertambah seri

Seremban: Lebih 10,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek di dewan Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, semalam.

Majlis perkahwinan Mohd Irfan Hasan dengan pasangannya Norhafiza Mustapa masing-masing berusia 28 tahun itu bermula jam 12 tengah hari dengan mengenakan persalinan ungu.

Majlis berkenaan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba kira-kira jam 1 petang disambut Hasan serta isteri Datin Seri Norainee Mohd Yatib.

Beliau dan isteri meluangkan masa hampir dua jam di majlis itu, selain turut bersalaman dengan orang ramai sebelum menepung tawar pasangan pengantin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, turut hadir pada majlis berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Turut hadir Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Anak bongsu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, Mohd Irfan bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Kuala Lumpur manakala isteri bertugas sebagai Penolong Pegawai Farmasi di Hospital Pakar KPJ Damansara.

Pasangan itu selamat diijabkabulkan di Masjid Hussain, Seremban 2, di sini, Jumaat lalu dan majlis persandingan pihak perempuan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 10:15am
d