mutakhir

Keluarga terus sabar menunggu

Shah Alam: Ibu kepada Nor Azimah Ibrahim yang hilang di Madinah sejak 19 Disember lalu memaklumkan keluarganya belum merancang pergi ke Madinah dalam tempoh terdekat kecuali jika dipanggil Kerajaan Arab Saudi untuk berbuat demikian.

Zamhani Zakaria, 52, berkata, keluarga masih sabar menunggu berita mengenai anaknya dan berharap Nor Azimah segera ditemui.

“Kami tidak merancang ke sana (Madinah) buat masa ini kerana saya masih tidak sihat sepenuhnya sejak pulang mengerjakan umrah apatah lagi perjalanan ke sana agak jauh dan memerlukan kos tinggi.

“Saya hanya mampu berdoa Nor Azimah ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, bapa Nor Azimah, Ibrahim Abdul Rahman, 54, masih berada di Arab Saudi untuk mengikuti perkembangan proses mencari anaknya.

Zamhani berkata, sebagai ibu, hatinya luluh mengenangkan nasib menimpa anak perempuannya itu namun buat masa ini mereka hanya mampu menunggu.

Pada 11 Disember lalu, Zamhani bersama suami serta Nor Azimah berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 22 Disember lalu.

Kali terakhir Zamhani bersama anaknya itu ialah pada 19 Disember lalu sebelum Nor Azimah hilang tanpa jejak sehingga kini.

Nor Azimah ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berasal dari Seksyen 30, dekat sini.

Disiarkan pada: January 11, 2016 @ 10:34am
d