mutakhir

'Alhamdulillah hati sesuai dengan anak'

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, doktor mengesahkan hati saya sesuai untuk didermakan kepada anak, jadi sekarang ini cuma perlu tunggu wang kos pembedahan cukup dan keadaan anak stabil,” kata Sayunawati Yahya, 34.

Menurutnya, walaupun penderitaan penyakit kegagalan fungsi hati (Biliary Atresia) yang dihidapi Muhammad Ajmal Nawfal Mohd Rizal, 12 bulan, semakin tidak stabil, dia masih mengharapkan keajaiban Allah berkat doa orang ramai yang simpati dengan nasibnya itu.

“Pagi tadi (semalam) Ajmal sekali lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas doktor mengesyaki jangkitan pada usus sebelum ini sudah merebak ke otak atau ada pendarahan dalam kepala.

“Saya akan terus tabah menghadapi ujian ini berkat doa dan kekuatan rakyat Malaysia yang prihatin, tambahan pula selepas doktor memberitahu rawatan pemindahan hati boleh dibuat kerana ia sesuai dengan Ajmal,” katanya.

Sayunawati ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Biro Kebajikan dan Sukarelawan Puteri UMNO Farhana Alham di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam.

Mengulas mengenai keadaan kewangan bagi menampung pembedahan anak bongsu daripada tiga beradik itu, Sayunawati berkata, sehingga kini sejumlah RM80,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai sejak sebulan lalu.

“Saya tidak menyangka orang ramai begitu prihatin dan hanya Tuhan saja mampu membalas jasa mereka menyumbangkan sebanyak ini kepada anak walaupun kos rawatan pemindahan hati mencecah RM250,000.

“Terima kasih tidak terhingga dan sekarang ini saya dan suami Mohd Rizal Harun, 34, hanya mampu berdoa mengharapkan kesihatan Ajmal kembali stabil sehingga wang mencukupi untuk melakukan pembedahan,” katanya menahan sebak.

Sementara itu, Farhana berkata, pada kunjungan itu Puteri UMNO menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,000 untuk meringankan beban dan berharap orang ramai supaya dapat bersama-sama membantu nasib yang menimpa keluarga berkenaan.

Kisah bayi malang itu menjadi viral di laman sosial sejak sebulan lalu dalam usaha mendapatkan sumbangan dan penderitaannya meraih simpati ramai selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia 63 hari.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank, 556235308636 (Sayunawati) dan CIMB 7016156556 (Mohd Rizal) atau hubungi 012 962 0719 (Sayunawati).

Disiarkan pada: January 12, 2016 @ 7:33am
d