mutakhir

Disiplin selari kelajuan

Kuala Lumpur: Kelajuan bukan pembunuh sebalik kecuaian semasa memandu boleh menyebabkan kemalangan dan seterusnya menyumbang kepada kenaikan kadar kematian di negara ini.

Itu antara kenyataan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) yang menyokong penuh cadangan meningkatkan had laju di sesetengah lokasi terutamanya di lebuh raya di negara ini.

Presiden KPPJSM Hamzah Masri berkata, cadangan meningkatkan had laju dari 90 ke 110 kilometer (km) itu amat baik tetapi harus selari dengan cara pemanduan dan sikap pemandu itu sendiri.

Katanya, kemalangan di negara ini bukan hanya disebabkan oleh kelajuan semata-mata tetapi lebih kepada pemanduan secara cuai.

“Walaupun kereta dipandu dalam had laju rendah tetapi pemandu cuai seperti menggunakan telefon bimbit ataupun aplikasi WhatsApp turut mengundang bahaya,” katanya, semalam.

Menurutnya, ada juga pendapat mendakwa pemandu akan mengantuk atau berkhayal sekiranya kereta dipandu secara perlahan.

“Pemanduan pada kelajuan sesuai terutamanya di lebuh raya boleh membuatkan pemandu sentiasa aktif dan waspada.

“Memang ada lokasi jalan atau lebuh raya yang selamat untuk ditingkatkan had laju tetapi beberapa aspek perlu diambil kira termasuk disiplin dan kesedaran pemandu kenderaan itu sendiri,” tegasnya.

Kelmarin Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Abd Ghafar Yusof menyatakan terdapat cadangan untuk menaikkan had laju di beberapa lokasi jalan.

Disiarkan pada: January 12, 2016 @ 8:32am
d