mutakhir

Kukuh keharmonian

Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Kerajaan menyokong penuh transformasi Parlimen dan akan terus menjalin hubungan harmoni menerusi pendekatan baru ke arah mengukuhkan institusi berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan seimbang antara badan perundangan dan eksekutif secara tidak langsung menyumbang kepada sistem demokrasi berparlimen berfungsi dengan lebih berkesan.

“Ini resipi penting bagi mewujudkan pentadbiran baik dan terus berkembang ke arah sistem demokrasi matang.

“Pemisahan kuasa antara badan Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif jelas khususnya berdasarkan persetujuan Panduan Dewan Latimer oleh ketua negara Komanwel,” katanya ketika merasmikan Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara Komanwel (CSPOC) Ke-23 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali.

Kata Ahmad Zahid, perkara asas di bawah Panduan Dewan Latimer bertujuan memastikan Parlimen dapat mengurus hal ehwal institusinya selain menyediakan fungsi penyeliaan tanpa campur tangan badan Eksekutif.

“Pendekatan baru mengukuhkan Parlimen perlu dikenal pasti tanpa dipengaruhi perbezaan politik, selaras keutamaannya yang meletakkan keperluan dan aspirasi rakyat.

“Selain itu, Parlimen perlu bertindak balas secara kolektif dalam menyelesaikan ancaman demokrasi memandangkan ia satu peluang memperbaharui kepercayaan berterusan berasaskan prinsip asas Komanwel,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Speaker dan Ahli Parlimen sentiasa dipandang tinggi berikutan mereka pengamal tradisi demokrasi berparlimen.

Terdahulu, CSPOC 2016 yang bermula Sabtu lalu dihadiri kira-kira 300 delegasi termasuk 50 Speaker dari 49 negara Komanwel.

Semua delegasi akan berkampung di Kota Kinabalu sehingga Khamis ini bagi menghadiri persidangan khusus membincangkan dan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan serta perjalanan persidangan Parlimen di negara masing-masing.

Disiarkan pada: January 12, 2016 @ 8:35am
d