mutakhir

Ibu gelabah anak 'ghaib'

Selayang: Sepasang suami isteri cemas apabila anak lelaki mereka berusia tujuh tahun ‘ghaib’ ketika mahu diambil pulang dari sekolah.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa, Haikal Daniel Hanis didakwa gagal ditemui ibunya, Normala Ab Rahim, 37, yang menjemputnya pulang daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Selayang Baru 2, di sini.

Bapa kanak-kanak itu, Hanis Hasan, 37, berkata, anaknya baru sahaja memulakan persekolahan dan masih tidak biasa dengan keadaan sekitar.

“Sesi persekolahan tamat jam 6.30, namun isteri sudah menunggu Haikal sejak jam 6 petang. Bagaimanapun Haikal hilang menyebabkan isteri saya cemas.

“Haikal mungkin tidak perasaan kehadiran ibunya kerana isteri saya memakai seragam jururawat. Haikal kemudian mengambil keputusan pulang dengan berjalan kaki,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu ditumpangkan seorang wanita sebelum dihantar pulang ke rumah mereka di Pangsapuri Lakeview, di sini.

“Ketika Haikal tiba di rumah, saya dan isteri pula berada di balai polis untuk membuat laporan kehilangannya.

“Seorang jiran yang menemui Haikal di dalam lif membawa anak saya pulang ke rumahnya. Jiran itu menemui nombor telefon cikgu sekolah di dalam beg Haikal sebelum menghubungi guru terbabit,” katanya.

Dia yang pulang ke rumah pada jam 11.30 malam lega apabila anaknya ditemui dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak itu namun ibu bapa murid terbabit menarik balik laporan selepas anak mereka ditemui.

Disiarkan pada: January 13, 2016 @ 6:57am
d