mutakhir

27 hari tanpa hujan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Langkawi kawasan paling terjejas akibat fenomena El Nino selepas tidak menerima taburan hujan sejak 27 hari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata, selain Langkawi, kawasan Arau, Kubang Pasu dan Sik turut terjejas selepas 13 hari tidak menerima hujan manakala Prai, Pulau Pinang dan Lubuk Merbau, Kedah mencatatkan suhu tertinggi di negara ini iaitu 36 darjah Celsius setakat semalam.

“Selain itu, Alor Setar dan Felda Chuping turut mencatatkan suhu tinggi di Malaysia iaitu 37.6 darjah Celsius sejak Isnin lalu seterusnya beberapa daerah di utara Semenanjung mula mencatatkan suhu tinggi iaitu Butterworth (36.7 darjah Celsius); Ipoh (36.2); Langkawi (36.2) dan Prai (36.2).

“Taburan hujan di seluruh negara dijangka berkurangan antara 20 hingga 60 peratus terutama negeri di utara Semenanjung,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, cuaca panas itu akan berterusan sehingga April dan kesan El Nino akan mula dirasai di seluruh Semenanjung, Sabah dan Miri serta Limbang, Sarawak pada hujung bulan ini.

Che Gayah berkata, fenomena El Nino bukan lagi asing bagi masyarakat negara ini, malah mengikut rekod dilaporkan pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951-1952 dan kejadian paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

“Fenomena El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.

“Ketika ia berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik iaitu di perairan Colombia, Ecuador dan Peru disebabkan kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik,” katanya.

Katanya, El Nino akan membawa jumlah hujan yang sangat tinggi di kawasan tertentu di benua Amerika, Asia Timur dan Asia Selatan dengan lazimnya akan menyebabkan banjir manakala kawasan seperti selatan benua Afrika, utara Australia, Indonesia dan Malaysia akan mengalami kemarau disebabkan cuaca panas dan kering yang melampau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca kering dan peningkatan suhu berpotensi menyebabkan virus denggi disebarkan dengan cepat.

“Cuaca panas akan mempengaruhi tabiat pergerakan nyamuk dan penyebaran virus denggi .

“Malah, peningkatan suhu akan menyebabkan nyamuk lebih aktif menggigit dan tempoh replikasi virus akan menjadi lebih singkat sehingga berpotensi menyebabkan virus disebarkan dengan lebih cepat,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2016 @ 9:08am
d