mutakhir

Defendan ada niat jahat

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau berhak mempertahankan maruah dan reputasi dirinya dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang memfitnahnya seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Beliau berkata demikian melalui afidavit jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas oleh bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin dan salinannya diperoleh media, semalam.

Ia berhubung saman dikemukakan Najib sebagai plaintif terhadap Ling (defendan) yang didakwa ada mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengaitkan Perdana Menteri dengan penyalahgunaan dana kerajaan.

Menurut Najib, tiada peruntukan undang-undang yang melucutkan haknya untuk mengambil tindakan terhadap Ling dan dakwaan beliau tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian juga adalah tanpa asas perundangan.

Berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion, plaintif merizabkan haknya untuk memberi penjelasan dalam jawapan kepada pembelaan berikutan isu itu masih lagi disiasat oleh pihak yang diiktiraf dan diakui undang-undang.

Tanpa prejudis, plaintif menafikan bahawa beliau menerima wang kepunyaan orang lain selain wangnya ke dalam akaun peribadi dengan cara tidak betul dan salah.

Najib berkata, tidak ada situasi yang mendesak Ling sehingga terpaksa mengeluarkan perkataan fitnah itu tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

“Ini menunjukkan defendan tidak bertindak secara ‘bona fide’ (niat baik) atau sebagai seorang veteran yang dihormati (elder statesman). Dengan kedudukannya sebagai mantan Presiden MCA beliau tidak sepatutnya menghamburkan perkataan fitnah tanpa merujuk dan mendapatkan pengisian daripada plaintif.

“Jelas bahawa defendan bertindak dalam keadaan melulu dengan ‘mala fide’ (niat jahat) untuk merosakkan imej serta reputasi,” katanya.

Menurutnya, defendan mengetahui bahawa perkataan fitnah itu hanya bersandarkan kepada spekulasi umum dan kenyataan ‘dengar cakap’ sahaja.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 27 Oktober tahun lalu, Najib berkata, Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan mengeluarkan kenyataan fitnah diterbitkan portal Malay Mail bertarikh 3 Oktober 2015.

Najib berkata defendan secara salah dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di ibu negara.

Katanya, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mengkhianati kepercayaan rakyat.

Najib diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Ranjit Singh mewakili Ling.

Disiarkan pada: January 14, 2016 @ 8:20am
d