mutakhir

Kamarudin dahului senarai

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Mantan Naib Canselor pertama Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar mengetuai senarai 725 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-68, hari ini.

Dr Kamarudin, 82, yang pernah menjawat jawatan itu pada 1999 menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penerima lain adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Turut menerima DPNS adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Abdul Razak Ab Said, aktivis pendidikan Datin Halimah Mohd Said, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Datuk Wira Kamaludin Md Said serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad Datuk Soam Heng Choon.

Dua penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz (DSTM) membawa gelaran Datuk iaitu arkitek Datuk AR Hajeedar Abdul Majid dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Datin Vivienne Leong Foong Lai.

Sementara itu, seramai 32 disenarai penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Institut Hubungan Luar dan Diplomasi Aminahtun A Karim.

Turut menerima DBNS adalah Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) Hasnul Mohamed, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V Mohd Md Isa, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Lokman Hakim Ali.

Selain itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri Zulkifli Baharan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Seri Pajam Ten Ah Man, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Adnan Abu Hassan, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Arshad Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Prof Dr Imran Ho Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Bagi Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) seramai 39 penerima, manakala Darjah Tuanku Muhriz (DTM) pula diberikan kepada lima penerima, Darjah Pekerti Terpilih (DPT) (13).

Selain itu, seramai 80 penerima Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan, Pingat Setiawan Tuanku Muhriz (3), Pingat Khidmat Cemerlang (194), Pingat Jasa Kebaktian (323), Pingat Khidmat Lama (21) dan Bentara Tuanku Muhriz (7).

Disiarkan pada: January 14, 2016 @ 8:21am
d