mutakhir

Pergi lepas 5 hari deman

Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Seorang suri rumah berusia 54 tahun menjadi korban terbaru denggi di negeri ini, tahun ini.

Rosnah Dolah, 54, yang menetap di Jalan Seroja 5B/1, Bukit Sentosa di sini, disahkan meninggal dunia jam 9.25 malam kelmarin selepas bertarung nyawa selama lima hari.

Suaminya, Ramly Yusoff, 59, berkata, arwah mula mengalami demam panas dan muntah Khamis lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dekat sini, pada Jumaat.

Katanya, apabila keadaan isterinya tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif, arwah kemudian dirujuk ke Hospital Selayang (HS) tiga hari kemudian untuk pemantauan pakar.

“Selepas tiga hari diberikan rawatan di HKKB, isteri saya dibawa ke HS namun disahkan meninggal dunia malam tadi (kelmarin) kerana denggi.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah ketentuan Allah namun berharap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib untuk memastikan wabak ini dapat dikawal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Ramly, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Seroja 5, Mohd Yusmar Omar, 44, berkata, kejadian itu amat mengejutkan penduduk kerana ia kes kematian yang pertama direkodkan sejak 14 tahun menetap di kawasan itu.

“Ini sangat mengejutkan penduduk. Sebenarnya ada tiga kes denggi di Seroja 5 ini, dua kes sudah pulih dan arwah kes ketiga dan terbaru.

“Kematiannya sangat mengejutkan dan saya harap tiada lagi penduduk yang menjadi mangsa. Semburan asap perlu ditingkatkan untuk memastikan wabak ini terkawal,” katanya.

Menurutnya, selain Seroja 5, Taman Seroja 3 yang terletak bersebelahan turut mencatatkan 18 kes demam denggi, namun tiada kematian.

Beliau tidak menolak kemungkinan wabak denggi itu berpunca daripada persekitaran yang kurang bersih ditambah kedudukan Taman Seroja 5 yang berdekatan dengan kawasan hutan dan banyak bangunan terbiar serta kereta buruk yang tersadai dalam kawasan perumahan.

Disiarkan pada: January 14, 2016 @ 9:34am
d