mutakhir

24 jam jaga nafas anak

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Sejak hari pertama sesi persekolahan 2016 bermula, Norizan Marsadi, 39, sentiasa menemani anaknya yang baru melangkah ke alam persekolahan termasuk berada di sisinya ketika di bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini.

Kehadiran Norizan di sekolah bukan saja untuk menemani Mohammad Raeez Ramdhan Mohd Zulkifli, 7, dan melihatnya menjalani aktiviti pembelajaran dengan baik, malah memastikan anak keempat daripada enam beradik itu terus bernafas.

“Sejak hari pertama Mohammad Raeez melangkah ke sekolah, saya juga bagaikan kembali belajar di tahun satu kerana berada di sisinya mengikuti setiap mata pelajaran diajar guru dan apa paling penting, kehadiran saya untuk memastikan nafasnya tidak terhenti,” katanya.

Mohammad Raeez mengalami komplikasi pernafasan dan jantung berlubang sejak kecil menyebabkan doktor menebuk lubang di kerongkongnya dan memasukkan alat bantuan pernafasan bagi membolehkan dia bernafas.

Norizan berkata, akibat masalah kesihatan itu, Mohammad Raeez memerlukan perhatian 24 jam sehari bukan saja di rumah, malah di sekolah.

“Jika saluran pernafasan pada lehernya tersumbat dengan kahak atau tidak sempurna, Mohammad Raeez tidak dapat bernafas dengan baik menyebabkan mukanya menjadi biru dan jika tidak bertindak segera, dia tidak boleh bernafas,” katanya ketika ditemui di kelas Tahun 1 Bistari SK Pogoh, semalam.

Norizan perlu hadir ke sekolah mengawasi anaknya kerana Mohammad Raeez hanya boleh memakan makanan lembut bagi mengelak timbul masalah pada salur pernafasannya.

“Alat pernafasan berharga RM200 itu perlu ditukar setiap 60 hari supaya tidak berlaku jangkitan kuman dan Mohammad Raeez terpaksa menjalani pemeriksaan jantung di Institiut Jantung Negara (IJN) setiap bulan selain ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, segala ubatan juga diambil secara percuma di Hospital Daerah Segamat (HDS) selain anaknya mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat.

“Sebenarnya Mohammad Raeez sepatutnya perlu melakukan pembedahan jantung, namun sering tertangguh kerana dia kerap mengalami demam dan selesema setiap kali pembedahan mahu dilakukan menyebabkan ia tertangguh sehingga kini,” katanya.

Norizan berkata, dia dan suaminya, Mohd Zulkifli Ahmad, 39, kakitangan swasta di Segamat juga hanya tidur ayam setiap malam sejak tujuh tahun lalu demi memastikan anak mereka dalam keadaan selesa, tetapi reda dengan ujian Allah ini kerana yakin tersirat hikmah di sebaliknya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pogoh, Norizan Jantan berkata, pihak sekolah memberikan kelonggaran terhadap ibu Mohammad Raeez menemaninya supaya tidak berlaku sesuatu yang boleh mengganggu kesihatannya.

Disiarkan pada: January 15, 2016 @ 7:31am
d