mutakhir

Si cilik istimewa kuat semangat

Hulu Terengganu: Seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang, di sini, tidak mahu menjadikan kecacatan kaki dialaminya sebagai penghalang untuk menuntut ilmu seperti kanak-kanak normal lain.

“Walaupun mengalami kecacatan, namun ia bukan penghalang kepada saya untuk berjaya dalam pelajaran,” kata Syarifah Damira Adrianna Sheikh Amir Ridhuan, 7.

Menurutnya, selepas kematian ibu pada 2013 dan ayahnya pula bekerja di Vietnam, dia kini tinggal bersama neneknya, Siah Mat Zin, 77, di Kampung Butut, di sini.

Katanya, dia gembira dapat bersekolah dan menuntut ilmu bersama rakan lain dan akan berusaha untuk berjaya dalam pelajarannya kerana hanya ilmu dapat mengubah kehidupannya.

“Guru banyak membantu saya dan dengan bantuan kerusi roda disumbangkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memudahkan saya untuk bergerak.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sebelum ini dan menyumbangkan kerusi roda kepada saya,” katanya ketika ditemui di SK Kuala Berang, di sini, semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Kuala Berang Hasnah Hasan berkata, kerusi roda itu sumbangan PPD dan ia merupakan inisiatif untuk membantu murid berkenaan.

“Dengan adanya kerusi roda itu akan dapat memudahkan murid terbabit bergerak.

“Murid berkenaan mengalami kecacatan pada kaki dan tidak dapat berjalan seperti murid lain, namun dia mempunyai keistimewaan tersendiri kerana petah bercakap selain menunjukkan minat tinggi terhadap pelajaran,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2016 @ 7:33am
d