mutakhir

Risiko strok haba

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Individu yang kurang meminum air masak, gemar mengambil minuman bergula, berkafein dan beralkohol antara yang berisiko tinggi diserang strok haba jika terdedah kepada cuaca terlalu panas.

Doktor Kesihatan Pekerjaan Dr Shawaludin Husin berkata, golongan berkenaan dinasihatkan supaya meminum air masak dengan lebih kerap bagi mengurangkan risiko terbabit.

“Pekerja di tapak pembinaan yang banyak melakukan aktiviti berat juga antara yang berisiko diserang strok haba berikutan mereka terdedah terus kepada cahaya matahari selain berpeluh sehingga menyebabkan dehidrasi.

“Pada masa sama, warga emas, pesakit jantung, kencing manis dan darah tinggi perlu lebih berhati-hati. Kanak-kanak serta mereka yang demam selain cirit-birit perlu sentiasa peka dengan mengawasi perubahan yang berlaku terhadap badan bagi mengelak diserang strok haba,” katanya.

Dr Shawaludin berkata, masyarakat tidak tahu dengan jelas kesan terlalu lama terdedah kepada cuaca panas. Ia boleh mengakibatkan sakit kepala, berpeluh lebih daripada biasa, loya, muntah, kejang selain cepat letih.

Menurut beliau, sebahagian besar masyarakat menganggap cuaca panas hanya mengakibatkan demam semata-mata.

“Bagaimanapun, harus diingat bahawa kesan strok haba juga boleh membawa maut. Strok haba berlaku apabila badan seseorang itu kekurangan air menyebabkan suhu di dalam badannya meningkat menyebabkan individu terbabit berpeluh lebih daripada biasa.

“Pada masa sama, untuk mengawal suhu badan, pengaliran darah akan lebih ke kulit bersama peluh mengakibatkan pengaliran darah ke otak berkurangan. Ia boleh menyebabkan simptom seperti pening dan akibatnya, individu terbabit berisiko pengsan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perubatan Pusat Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Adibah Mohktar berkata, tahap kesihatan penuntut di universiti berkenaan masih terkawal sepanjang dua minggu fenomena El-Nino melanda negara.

Disiarkan pada: January 15, 2016 @ 10:24am
d