mutakhir

Najib beri jaminan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Serdang: Kerajaan komited untuk menentang habis-habisan apa juga bentuk dan sikap perkauman serta keagamaan melampau supaya keselamatan, perpaduan dan keamanan terjamin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, soal mengekalkan keamanan dan perpaduan tidak boleh dipandang mudah dan bagi mencapainya masyarakat perlu bekerjasama rapat.

“Sebagai Perdana Menteri, saya beri jaminan kerajaan akan menentang habis-habisan terhadap apa jua bentuk keganasan dan perkauman serta keagamaan melampau.

“Adalah penting untuk kita semua yakin kepada Malaysia kerana kita sudah banyak mencapai kejayaan berbanding di peringkat awal kita bermula, namun perjalanannya masih jauh,” katanya berucap merasmikan Wisma Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Penasihat Kehormat Huazong Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Najib berkata, sebagai pemimpin beliau juga komited membawa kemajuan dan pembangunan ekonomi serta membina negara bangsa yang bersatu padu, adil dan saksama.

Katanya, beberapa siri serangan ganas seperti di Paris, Istanbul dan yang terbaru di Jakarta mengejutkan rakyat Malaysia dan masyarakat lain di seluruh dunia.

“Ini menunjukkan bahawa keamanan dan keharmonian adalah komoditi yang sangat berharga yang mana kita tidak boleh mengambil sikap tidak menghargainya,” katanya.

Menurutnya, satu-satunya cara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini adalah dengan semua masyarakat bekerjasama bagi mencapai matlamat itu.

Katanya, masyarakat perlu bergerak ke peringkat seterusnya untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain termasuk apabila menggunakan platform media sosial.

“Kita tidak boleh gunakan media sosial untuk mempersendakan atau mencemuh antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan Cina dan Bumiputera di negara ini bekerjasama antara satu sama lain dengan menubuhkan lebih banyak syarikat perkongsian perniagaan bagi meneroka peluang perniagaan baru.

Ketidaktentuan ekonomi dunia dan negara ketika ini katanya, memerlukan kerjasama rapat rakyat termasuk komuniti perniagaan tanpa mengira kaum mengatasinya demi manfaat bersama.

“Saya menggalakkan lebih banyak usahawan Cina dan Bumiputera bekerjasama rapat menubuhkan syarikat perniagaan dan mengambil kesempatan mencari peluang perniagaan baru.

“Kita mahu melihat lebih banyak peluang ekonomi ini dibangunkan secara bersama oleh semua rakyat Malaysia. Jika kita boleh memupuk semangat bekerjasama merentasi kaum di negara ini, kita akan menghapuskan halangan antara entiti kaum,” katanya.

Menurut Najib, komuniti perniagaan terbabit boleh mencontohi kerjasama padu politik antara kaum di negara ini dalam Barisan Nasional (BN) bagi memperkukuhkan perkongsian.

“Sekali gus kita dapat mewujudkan Malaysia yang bersatu padu dan progresif pada masa depan. Kita perlu berpegang teguh kepada prinsip kesederhanaan dan progresif di negara ini.

“Iaitu memastikan prinsip dilaksanakan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan kita.

“Kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan menyalurkan RM3 juta bagi dana Huazong yang kekurangan RM12 juta serta satu set buku kompilasi sejarah China ‘SI-KU QUAN-SHU HUI-YAO’ mengandungi 500 jilid yang berkisar kepada pelbagai tajuk seperti budaya, pendidikan, moral, pengajaran Confucius, falsafah, politik dan etika.

Disiarkan pada: January 17, 2016 @ 5:14am
d