mutakhir

10 pasangan dirai tetamu diraja

Kuantan: “Majlis perkahwinan kami lebih manis apabila Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan Tengku Puan Pahang (Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) turut menepung tawar, sudah tentu ia akan menjadi kenangan seumur hidup,” kata pengantin baru, Azrul Rashedan Abdul Rashid Boon Ma, 24, yang menyertai Majlis Perkahwinan Perdana di Gambang Resort di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia dan pasangannya, Farra Hanis Mohd Khairuddin, 21, bersyukur dan gembira kerana terpilih untuk menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai itu selain berterima kasih kepada penganjur iaitu Parlimen Paya Besar.

“Pada mulanya, kami bercadang berkahwin pada penghujung bulan ini namun selepas dimaklumkan mengenai program perkahwinan perdana ini, kami teruja untuk menyertainya dan gembira apabila terpilih.

“Setiap orang mahukan majlis perkahwinan mereka penuh meriah, namun tidak pernah terlintas di fikiran saya yang kami akan diraikan dengan penuh mewah malah ditepung tawar oleh kerabat diraja,” katanya ketika ditemui.

Katanya, program seperti itu membantu bakal pengantin terutamanya golongan muda menampung kos perkahwinan yang menelan belanja besar.

“Kami hanya mengeluarkan belanja RM3,000 untuk kos hantaran, sewa baju, solekan dan lain-lain. Jumlah itu jauh lebih menjimatkan berbanding anggaran asal kami sebelum ini.

“Lebih menarik, kami turut diberi penginapan percuma di resort ini selama dua hari,” katanya.

Pada program itu, 10 pasangan diijab kabul dan disandingkan dalam majlis yang meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga pengantin selain persembahan artis popular.

Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail.

Disiarkan pada: January 18, 2016 @ 5:42am
d