mutakhir

Sudah suratan kelindan lori telur

Alor Gajah: Seorang terbunuh sementara dua lagi parah selepas lori dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 214, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 6.15 pagi itu, lori 10 tan membawa muatan telur itu dalam perjalanan dari Serkam, Merlimau, menuju ke Kuala Lumpur, sebelum merempuh belakang treler di hadapan.

Akibat kejadian itu kelindan lori warga Nepal dikenali sebagai Surendra, 31, disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, dua lagi rakannya parah manakala pemandu dan kelindan treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kami sedang melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca sebenar bagaimana kemalangan mengorbankan kelindan lori terbabit boleh berlaku.

“Kedua-dua mangsa yang parah sudah dirujuk ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk menerima rawatan, manakala kelindan yang maut di lokasi kejadian di hantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Dzulkarnain Abd Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.17 pagi.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima seorang pegawai dan 14 anggota bersama sebuah jentera dan ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati kepala lori berkenaan remuk dan melekat di bahagian belakang treler terbabit menyebabkan pemandu dan dua kelindannya tersepit, ketika itu seorang daripada mangsa dipercayai sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2016 @ 5:55am
d