mutakhir

Selesai cara baik

Georgetown: Kes saman fitnah Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadap Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan Tantawi berhubung pembinaan terowong dasar laut diselesaikan secara baik, semalam.

Ia susulan persetujuan bersama kedua-dua pihak yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini.

Guan Eng selaku plaintif bersetuju dengan syarat ditetapkan iaitu artikel Nasruddin yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Ogos 2014 lalu ditarik balik.

Selain itu, Nasruddin turut bersetuju membayar kos guaman kepada Guan Eng sebanyak RM10,000.

Nasruddin memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia kesal kerana membuat kenyataan tidak berasas dalam akaun Facebooknya terhadap Guan Eng.

“Selepas melihat dokumen yang dikemukakan di mahkamah, saya kesal kerana artikel saya menyebabkan berlaku salah faham terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kami juga membuat keputusan untuk tidak mahu memanjangkan kes ini dan berikutan itu, saya akan menarik balik artikel terbabit dibuat pada 6 Ogos 2014,” katanya.

Guan Eng diwakili peguam Datuk N Mureli, manakala Nasaruddin diwakili peguam Yusfarizal Yusoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Asmadi Abu Bakar.

Nasruddin yang ditemui selepas prosiding bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf terhadap Guan Eng susulan penerbitan artikel berkenaan.

Katanya, pihaknya tegas dengan pendirian untuk tidak mengemukakan permohonan maaf itu, walaupun mengakui ada menerima asakan hebat daripada Guan Eng supaya beliau berbuat demikian.

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 5:50am
d