mutakhir

Tekad sambung usaha arwah ibu

Alor Gajah: Atas dasar mahu menyambung usaha arwah ibunya, Mohamad Idris, 27, kini bergelar usahawan tani berjaya apabila menuai hasil tanaman cili merah berjumlah 8,000 kilogram, tahun lalu.

Lebih membanggakan Mohamad apabila tanaman cili merah diusahakannya menggunakan kaedah fertigasi itu bukan saja mampu menampung permintaan penduduk negeri ini sebalik turut dipasarkan sehingga ke Selangor.

Menceritakan pengalamannya, Mohamad berkata, dia terbabit dalam aktiviti penanaman cili merah secara kecil-kecilan selepas ibunya, Zabedah Salihin meninggal dunia September 2013 kerana mahu menyambung usaha dan minat arwah.

“Saya bertani dengan 70 pokok cili merah diwarisi daripada ibu, mungkin kerana keberkatan peninggalan arwah serta kesungguhan usaha saya menjadi dan kini mempunyai lebih 5,000 pokok cili merah selepas mula serius dalam bidang ini tahun lalu.

“Pada mulanya saya melakukan penanaman secara tradisional, namun kerana semangat mahu terus maju saya mempelajari kaedah penanaman menggunakan teknik fertigasi daripada beberapa pengusaha tanaman cili sekitar Lubok Cina,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Dia turut dibantu isterinya, Farihin Mohd Noor, 27, untuk menguruskan kebun seluas 0.4 hektar di belakang rumah mereka yang menempatkan tanaman cili merah diusahakan.

Mohamad berkata, dia berhadapan pelbagai dugaan untuk berjaya berikutan tidak tahu bagaimana memasarkan cili merah dituai dan terpaksa melayan karenah pemborong yang kerap mempermainkannya.

“Pemborong memberi alasan sudah ada bekalan cili merah dalam jumlah besar, saya kemudian menjual hasil tanaman itu kepada seorang peruncit pada harga yang rendah.

“Namun, apa yang dikesalkan peruncit itu menjual cili merah kepada pemborong sama pada harga lebih tinggi,” katanya.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila seorang pengusaha tanaman cili mencadangkan dia memasarkan cili merahnya melalui Pusat Pengumpulan Hulu Langat (PPHL) di Selangor yang sedia membeli hasil tanaman pada harga RM5 satu kg.

Katanya, PPHL gabungan beberapa usahawan tani di daerah Hulu Langat yang mengumpulkan pelbagai hasil pertanian usahawan tani Bumiputera untuk menembusi pasaran dikuasai pemborong dan peruncit tertentu.

“Walaupun usahawan tani Bumiputera mampu menghasilkan pelbagai tanaman dengan kualiti yang tinggi, usaha untuk terus maju kerap terbantut kerana tidak mahir dalam bidang pemasaran,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 5:52am
d