mutakhir

TEKUN perkenal skim i-factoring

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional memperkenalkan skim pembiayaan terbaru iaitu i-factoring yang memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera mendapat pinjaman segera sehingga RM100,000 bagi menjalankan projek.

Selain tidak memerlukan penjamin dan deposit, tempoh kelulusan pinjaman berkenaan juga begitu singkat iaitu antara tujuh hingga 10 hari waktu bekerja.

Pengerusinya Datuk Nor Azita Abd Rahman berkata, sejak diperkenalkan tahun lalu seramai 156 usahawan yang mendapat tawaran kerja terus daripada kerajaan dan badan berkanun menerima kemudahan berkenaan membabitkan peruntukan lebih RM9.8 juta.

Katanya, tempoh bayaran pinjaman i-factoring begitu fleksibel selain caj pengurusan rendah yang dianggap tidak terlalu membebankan peminjam untuk meneruskan perniagaan mereka.

Katanya, TEKUN berharap usahawan Bumiputera di negara ini dapat merebut peluang disediakan dalam usaha memastikan mereka terus berjaya dalam bidang perniagaan seterusnya lebih dinamik dan berdaya saing.

“Bagi membantu usahawan kecil membuat pinjaman, tahun lalu kita juga memperkenalkan Ar-Rahnu TEKUN yang berlandaskan syariah, kemudahan lain turut disediakan di bawah skim berkenaan adalah seperti simpanan dan mencuci barangan emas dengan caj rendah.

“Sejak mula diperkenalkan seramai 37 individu terbabit Ar-Rahnu membabitkan pembiayaan sebanyak RM72,970 dan jumlah berkenaan dijangka akan terus bertambah tahun ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Cek Pembiayaan TEKUN Nasional cawangan Pekan di Dewan Banquet Bangunan UMNO Bahagian Pekan, di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus TEKUN Pahang, Hassan Anuar.

Dalam majlis itu, seramai 37 usahawan di bawah program Agropreneur Muda dan Teman TEKUN menerima pinjaman RM735,000.

Nor Azita berkata, tahun lalu seramai 32,883 usahawan dari seluruh negara membuat pinjaman dengan TEKUN membabitkan lebih RM43 juta.

Beliau berkata, Kelantan mencatat jumlah peminjam tertinggi iaitu 3,658 orang dengan pinjaman lebih RM62 juta diikuti Johor seramai 3,099 orang (RM62 juta) dan Selangor seramai 2,796 (RM58 juta).

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 5:59am
d