mutakhir

Tingkat kawalan pintu masuk negara

Putrajaya: Kementerian Pengangkutan tidak terkecuali dalam usaha menangani ancaman keganasan apabila meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara terutama di lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan dan stesen kereta api.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan drastik itu dibuat bagi memperketat kawalan keselamatan dan membendung ancaman militan dan keganasan di negara ini.

Beliau berkata, selain itu, kementerian turut mengambil beberapa langkah lain termasuk menambah kemudahan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan oleh petugas keselamatan.

“Bagi kawalan keselamatan di lapangan terbang pula, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut memperkukuh penggunaan peralatan bagi mengesan individu mencurigakan yang boleh membawa ancaman kepada negara.

“Kita juga memberi tumpuan kepada pelabuhan serta stesen kereta api sejak tahun lalu dan kawalan keselamatan di kawasan awam itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Kesedaran Moral, di sini, semalam.

Katanya, rakyat juga perlu tenang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kerajaan dan pasukan keselamatan negara mampu menghadapi ancaman keganasan ini.

Mengulas mengenai isu lori hantu yang meragut dua nyawa pelajar sekolah baru-baru ini, Tiong Lai berkata, pihaknya akan mengkaji penggunaan lori hantu di kawasan pembinaan khususnya di kawasan bandar.

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 6:09am
d