mutakhir

Cabaran wartawan kuasai dunia digital

Alor Setar: Dunia kewartawanan semakin mencabar dan memerlukan pengamal media memiliki pelbagai kemahiran kerja selain menguasai dunia digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata, penyampaian berita kini merangkumi pelbagai tugas berbeza, sekali gus memerlukan pengamal media bukan sahaja menguasai teknologi teks, malah menguasai ilmu audio dan video.

“Dahulu, kita hanya buat laporan untuk surat khabar, namun sekarang laporan juga perlu dalam bentuk digital.

“Mereka perlu berubah dan kuasai kemahiran menggunakan laman sosial seperti Twitter dan Facebook bagi untuk menyalurkan cepat dan tepat kepada pembaca,” katanya selepas perasmian Program Zamalah Wartawan 1Malaysia, di sini, semalam.

Program dua minggu bermula semalam anjuran MPI dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Kedah diadakan di Alor Setar dan Gunung Jerai itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Seramai 21 pengamal media daripada pelbagai agensi berita dari seluruh negara menyertai program itu bertuuan menampilkan mereka sebagai wartawanberkaliber dan berintegriti.

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 6:13am
d