mutakhir

Tren LRT generasi baru

Oleh Na’imah Mohamed

Pelabuhan Klang: Penyambungan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Kelana Jaya ke Putra Heights yang dijadualkan beroperasi pada pertengahan tahun ini bukan saja meningkatkan kemudahan malah memberi tahap keselesaan dan keselamatan lebih tinggi kepada pengguna dengan pengenalan tren generasi baru Bombardier INNOVIA Metro 300.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) semalam memperkenalkan tren generasi baru itu yang bukan saja lebih luas untuk meningkatkan kapasiti dan tahap keselesaan malah dimantapkan dengan ciri tambahan keselamatan dan sistem maklumat penumpang elektronik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, syarikat Hartasuma bertanggungjawab menyiapkan bahagian dalaman tren berkenaan dan menjadi rakan kongsi kepada Bombardier untuk kontrak menyediakan 14 set tren empat gerabak itu untuk Prasarana Malaysia Berhad di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV).

“Kerja di Hartasuma membabitkan pemasangan sepenuhnya bahagian dalaman tren termasuk sistem dalam tren untuk keselamatan dan komunikasi.

“Selepas siap, ia akan dihantar ke Depot LRT laluan Kelana Jaya di Subang pada akhir bulan ini untuk menjalani proses ujian dan pensijilan sebelum dibawa masuk ke dalam perkhidmatan apabila laluan sambungan LRT Kelana Jaya dibuka pada 30 Jun ini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam, Pengarah Urusan Hartasuma Datuk Abdul Rahman Abdul Halim dan Presiden Divisyen Sistem & Asia/Australia Bombardier Transportation Pierre Attendu.

INNOVIA Metro 300 yang direka, dibangun dan diuji Bombardier’s Centre of Competence for Mass Transit Systems di Kingston, Kanada, tren itu tiba di Malaysia pada 18 Disember lalu selepas lebih dua bulan perjalanan melalui laut.

Tren itu dihantar ke Malaysia secara berperingkat dengan tren kedua dijadual tiba akhir bulan depan.

Disiarkan pada: January 19, 2016 @ 6:24am
d