mutakhir

30 pelajar cuti seminggu

Dengkil: Seramai 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Ridzuan, Kampung Dato’ Ahmad Razali di sini, bercuti seminggu bagi membolehkan pengurusan menyediakan tempat baru selepas asrama mereka terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, asrama pelajar yang terletak di aras satu bangunan dua tingkat itu musnah terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Ridzuan Ishak Jamil ketika ditemui semalam berkata, arahan bercuti itu dikeluarkan bagi membolehkan pelajar pulang ke rumah masing-masing sementara pihaknya menyediakan sebuah dewan komuniti untuk dijadikan asrama penginapan.

“Pelajar tidak diberi cuti lebih lama bagi mengelak mereka lupa apa yang mereka pelajari,” katanya.

Katanya, dalam kejadian kelmarin, semua pelajar berusia antara 11 hingga 16 tahun sedang menunaikan solat Isyak di Masjid As Sharif yang terletak bersebelahan asrama penginapan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing turut melawat kawasan kebakaran pagi semalam selain menghulurkan bantuan.

Marsum berkata, beliau juga akan mengemukakan kertas kerja dan cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menyegerakan usaha membaik pulih asrama berkenaan.

“Saya difahamkan, asrama itu dibina 11 tahun lalu di bawah projek UPEN.

“Buat sementara waktu, kami memberi kebenaran kepada pihak madrasah untuk menggunakan dewan komuniti yang terletak berdekatan asrama sebagai tempat tinggal sementara,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil turut menyerahkan sumbangan RM100 kepada setiap pelajar bagi membeli pakaian baru dan kemudahan pembelajaran.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke tabung masjid di akaun nombor CIMB 8600789800 atau menghubungi Setiausaha Masjid, Khairi Ibrahim di talian 012-2152471.

Disiarkan pada: January 20, 2016 @ 6:23am
d